Projek tanaman durian musang king ditanam di kawasan ladang PASFA seluas 20 hektar bermula Oktober ini

KUANTAN  –  Sebanyak 400 pokok durian musang king akan ditanam di ladang milik  Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) di tanah seluas 20 hektar yang dijadualkan bermula Oktober ini.

Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Azulita Salim berkata, sebanyak RM280,000 diperuntukkan untuk projek ini yang akan dijalankan di kawasan ladang PASFA di Kampung Mahkota, Jalan Gambang, Kuantan.

“Selain itu RM3 juta juga  telah disalurkan kepada PASFA untuk menjalankan projek pembangunan dan  projek tanaman durian premium musang king.

“Projek tanaman durian musang king itu dijangka mula mengeluarkan hasil selepas empat hingga lima tahun.

Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Azulita Salim menyiram pokok Durian Musang King (D197)

Beliau berkata demikian ketika dalam sidang media selepas membuat lawatan kerja di Ladang PASFA di Kampung Mahkota, turut dihadiri Pengerusi PASFA, Datuk Zamri Yaakob.

Azulita berkata, ladang ini sangat sesuai untuk tanaman durian.

Dalam pada itu, pembangunan pertanian bercampur di ladang Kampung Mahkota akan dibangunkan dan dijangkakan menjadi antara lokasi agrotourism di Pahang.

Setakat ini kawasan berkenaan sudah ditanam dengan pokok kelapa pandan, buah dokong serta projek madu kelulut.

Katanya, lokasi ini akan dibuka kepada orang ramai dan PASFA berhasrat untuk memperkenalkan produk-produk yang ada kepada generasi muda.

Pembukaan ladang ini juga akan membantu melonjakkan industri pelancongan negeri ini.

Katanya, untuk tahun ini, PASFA mendapat peruntukan sebanyak RM35 juta daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. – MalaysiaGazette