Wanita warga Singapura yang didakwa mengasari seorang kanak-kanak autisme berjalan keluar selepas diikat jamin di Mahkamah Sesyen Ampang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 13 OKTOBER 2021.

AMPANG – Seorang wanita warga Singapura yang tular mengasari seorang kanak-kanak lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) di sebuah Pusat Intervensi Autisme mengaku tidak bersalah melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh Sharifah Mazlan, 51, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norhazani Hamzah.

Tetuduh yang menjadi penjaga kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun itu dituduh melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak itu di sebuah Pusat Intervensi Autisme, Bandar Baru Ampang di sini pukul 10 pagi pada 1 Oktober lalu.

Ibu kepada tiga orang anak tersebut didakwa mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suriantiazila Muhamad tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh merupakan seorang warga asing dari Singapura.

Dalam hujahannya, Suriantizila berkata, bantahan jaminan itu disebabkan kes tersebut telah mendapat liputan luas selain ia melibatkan kepentingan awam.

“Sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, pendakwaan mencadangkan satu jaminan tinggi dikenakan selain syarat-syarat tambahan,” kata Suriantizila.

Bagaimanapun peguam Samry Masri yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan Sharifah diikat jamin dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga dan merupakan ibu kepada tiga orang anak.

“Meskipun tertuduh seorang warga Singapura, namun telah berkahwin dengan orang tempatan dan suaminya berasal dari Perak sejak tahun 1998.

”Tiga anaknya juga berusia 17, 19 dan 21 tahun merupakan warga Malaysia yang mana dua daripadanya berusia 17 dan 19 tahun adalah autisme,” kata peguam itu yang turut menambah tertuduh dan keluarganya menetap di Ampang sejak 20 tahun lalu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, hakim Norhazani membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan pada setiap 7 haribulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 9 Disember ini ditetapkan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Sementara di Mahkamah Majistret tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tinggal di Malaysia melebihi tempoh sah selama sembilan bulan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pejabat pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini pukul 12 tengahari pada 8 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 pindaan 2002 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan juga tidak lebih enam sebatan jika sabit kesalahan.

Majistret Nur Maizan Rahim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin warga tempatan dan tarikh sama untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette