KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari terus diperdengarkan bagaimana dana Yayasan Akalbudi milik bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dibelanjakan dalam prosiding kes rasuahnya hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran berhujah mengenai wang deposit tetap berjumlah RM17.9 juta milik Yayasan Akalbudi dikeluarkan bagi membeli sebuah hotel butik yang dikatakan sebagai pelaburan.

Untuk makluman hotel butik di Bali, Indonesia telah dibeli oleh anak perempuan Ahmad Zahid, Datuk Nurul Hidayah Zahid.

Raja Rozela mempersoalkan bagaimana dana Yayasan Akalbudi yang sepatutnya digunakan untuk membasmi kemiskinan selain membantu fakir miskin digunakan untuk tujuan lain.

“Tertuduh telah memberi arahan khas kesemua wang daripada tujuh akaun deposit tetap Akalbudi, dikeluarkan sebelum memindahkannya menerusi cek bank kepada Tetuan Lewis & Co.

“Beliau kemudian keluarkan cek berjumlah RM8.6 juta kepada Ri-Yaz Aset Sdn Bhd bagi pembelian 60 peratus saham daripada Pengerusi Aset Ri-Yaz, Tan Sri Rashid Manaf. Yang beli hotel ini adalah anak perempuan tertuduh dan ianya telah disahkan oleh saksi sebelum ini.

“Soalnya sekarang bagaimana menguruskan butik hotel di Indonesia membantu rakyat miskin di negara ini? Dana Akalbudi digunakan untuk keuntungan peribadi tertuduh,” katanya.

Beliau berhujah demikian pada hujah akhir prosiding kes rasuah yang dihadapi Ahmad Zahid di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.

Menyambung hujah, Raja Rozela turut membangkitkan  bagaimana cek bank RM17.9 juta itu dibayar kepada Lewis & Co dan mengapakah dana itu dipindahkan.

“Kenapa dana itu dipindahkan, sedangkan tiada rekod yang menunjukkan bahawa Tetuan Lewis & Co bertindak untuk Akalbudi? Sebenarnya tujuan sebenar pengeluaran deposit tetap RM17.9 juta adalah bagi memudahkan anak perempuan tertuduh membeli hotel butik itu,” ujarnya.

Mahkamah ketika ini sedang mendengar penghujahan pembelaan pada akhir kes pendakwaan terhadap Ahmad Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan iaitu 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pecah amanah dan lapan rasuah melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Ahli Parlimen Bagon Datuk merangkap Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana tersebut untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman.

Dana itu juga telah di sumbang  kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun.

Sabit kesalahan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Collin kemudian menangguhkan prosiding kepada Isnin depan. -MalaysiaGazette