Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Solat Jumaat di masjid dan surau di Johor dibenarkan mengikut kapasiti bangunan dengan mengambilkira penjarakan fizikal bermula esok.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad menerusi satu kenyataan memberitahu, kerajaan negeri turut membenarkan solat fardu dan jenazah boleh dilaksanakan mengikut satu per tiga dewan solat masjid serta surau sepanjang tempoh dalam Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Namun, katanya, kehadiran pegawai masjid dan surau, ahli jawatankuasa pengurusan kariah serta jemaah hanya kepada mereka yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 selain pengecualian prosedur operasi standard hanya diberikan kepada yang mempunyai perakuan bertulis daripada Pejabat Kesihatan Daerah.

“Jemaah lelaki dan wanita yang hadir ke masjid atau surau perlu menunjukkan bukti sijil digital vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera atau kad vaksinasi kepada petugas masjid mahu pun surau.

“Bagi jemaah lelaki mukalaf dan belum menerima vaksin hendaklah solat di kediaman masing-masing selain waktu solat Jumaat tidak dibenarkan berada di tempat awam,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Antara aktiviti pengimarahan masjid dan surau yang dibenarkan pula ialah majlis membudayakan al-Quran, bacaan surah Yasin dan tahlil, surah al-Mulk, surah al-Kahfi selain kuliah Subuh serta Maghrib yang terhad kepada penceramah dalam daerah yang lengkap vaksinasi dengan tempoh kuliah tidak melebihi satu jam.

Yahya berkata, antara program yang ditangguhkan meliputi majlis Maulidur Rasul, majlis zikir, selawat, kelas al-Quran, kuliah umum dan khas, kuliah Jumaat, program kumpulan wirid, program kumpulan tarikat serta program bermalam.

“Kelas pengajian secara dalam talian adalah digalakkan namun aktiviti memasak mahu pun jamuan dalam kawasan masjid dan surau tidak dibenarkan manakala juadah hanya diberi secara bungkus,” katanya.-MalaysiaGazette