KUALA LUMPUR – Lelaki yang melaungkan azan dan bersembahyang di tengah jalan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di Jalan Ipoh semalam didapati telah melarikan diri dari wad psikiatri, Hospital Selayang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata, lelaki dalam lingkungan umur 30-an itu sedang menerima rawatan di hospital tersebut.

Beliau berkata, anggota JSPT Kuala Lumpur yang sedang membuat rondaan telah menerima maklumat berkaitan dengan kesesakan di Jalan Ipoh.

“Sampai ke tempat kejadian mereka mendapati seorang lelaki sedang berdiri di tengah jalan sambil melaungkan azan dan bersolat. Anggota bertindak memujuk lelaki tersebut dan membawanya ke stesen minyak Shell berhampiran untuk tujuan menenangkannya.

“Lelaki tersebut juga memakai gelang putih yang menyerupai gelang hospital,” katanya menerusi kenyataan.

Tular di media sosial baru-baru ini, video berdurasi lebih kurang 30 saat memaparkan seorang lelaki sedang bersolat di atas jalan raya sambil tidak menghiraukan keadaan sekeliling.

Kejadian berlaku semalam, 13 Oktober jam 3.35 petang di Jalan Ipoh, berhampiran Shell Taman City menghala ke pusat bandar.

Anggota polis trafik yang berada di situ terpaksa memantau lalu lintas yang sesak gara-gara tindakan lelaki tersebut.

Tindakan anggota polis trafik berkenaan juga turut meraih pujian ramai kerana menunggu lelaki tersebut selesai solat sambil mengawal lalu lintas di jalan berkenaan.

Mengulas lanjut Sarifudin bekata, selepas menenangkannya, lelaki itu dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast