Beberapa langkah telah diambil bagi menangani isu kenaikan kos bahan binaan di negara ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Keluhan peniaga di Pekan Sungai Besi yang terkesan akibat penutupan jalan di kawasan berkenaan tiada kaitan dengan projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Sebaliknya penutupan jalan bagi kerja-kerja yang berlangsung di sekitar kawasan tersebut adalah untuk kerja-kerja pembinaan projek infrastuktur yang lain.

Perkara itu dinyatakan oleh Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn. Bhd., iaitu pemegang konsesi SUKE dalam satu kenyataan bagi menjelaskan berita MalaysianGazette bertajuk “Menyusahkan Betul Banyak Jalan Ditutup Kerana Lebuhraya SUKE” yang bertarikh 12 Oktober 2021.

“Adalah ingin dimaklumkan bahawa laporan berita tersebut adalah kurang tepat di mana kesan terhadap peniaga di Pekan Sungai Besi bukan berpunca dari penutupan jalan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan SUKE.

“SUKE sentiasa peka terhadap keselamatan dan kesan secara langsung terhadap penduduk sekitar kawasan pembinaannya dan sentiasa berusaha untuk memastikan keselesaan dan keselamatan semua pihak terjaga,” katanya.

MalaysiaGazette baru-baru ini melaporkan kegusasran warga Pekan Sungai Besi terhadap penutupan jalan di Pekan Sungai Besi yang telah menimbulkan pelbagai masalah terhadap penduduk terutama mereka dari PPR dan Pangsapuri Permai, Kampung Malaysia dan pengunjung dari Lebuhraya Besraya dari arah Serdang. – MalaysiaGazette