Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini menetapkan pendirian untuk menunggu keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, keputusan itu dicapai bagi menunggu ketetapan yang akan dibuat oleh SPR Isnin ini.

“MKT bincang pasal PRN Melaka, tunggu keputusan SPR,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri mesyuarat MKT, sebentar tadi.

Mesyuarat MKT UMNO hampir tiga jam membincangkan mengenai persiapan parti itu bagi menghadapi PRN Melaka.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, parti itu belum memutuskan apa-apa keputusan mengenai agihan kerusi.

“Mengenai agihan kerusi itu tidak diputuskan pada malam ini.

“Kita akan adakan mesyuarat sekali lagi nanti,” katanya kepada media.

Mengulas lanjut, Ahmad turut berkata UMNO akan menunggu kata putus daripada SPR.

“Apapun keputusannya, kita telah putuskan untuk jentera perlu mempersiapkan gerak kerja masing-masing. Sama ada PRN itu diadakan dalam masa terdekat atau ditangguh, ia tetap akan diadakan,” katanya lagi.

Presiden UMNO sebelum ini berkata, parti itu akan bertanding bersendirian pada PRN Melaka tanpa kerjasama parti lain, termasuk Pas yang menjadi sekutunya dalam MN ataupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). – MalaysiaGazette