Suasana sepi di Anjung Selera Hutan Bandar kini kembali meriah selepas negeri itu beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak Jumaat lalu.

JOHOR BAHRU – Suasana sepi di Anjung Selera Hutan Bandar kini kembali meriah selepas Johor beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak Jumaat lalu.

Kemeriahan semakin terasa sejak kerajaan turut membenarkan rentas negeri baru-baru ini.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati orang ramai mula memenuhi kawasan yang menjadi tumpuan warga Johor.

Kawasan itu mula dipenuhi orang ramai terutama mereka yang berkeluarga terutama pada hujung minggu seawal pukul 8 pagi lagi.

Salah seorang pengunjung, Abdl Samad Yaacob, 54, dari Bukit Indah dekat sini mengambil peluang bersama isterinya, Norhana Kandar, 51, untuk bersarapan di Anjung Selera Hutan Bandar.

Abdl Samad Yaacob dan Norhana Kandar.

Bagaimanapun, dia dan isteri mengambil pendekatan tidak membawa anak-anaknya bagi mengelak perkara tidak diingini.

“Memang sejak kerajaan membenarkan untuk dine in kita rasa bersyukurlah tetapi kita harap semua tidak mengabaikan SOP kerana sedia maklum walau jaga SOP kita tetap boleh terkena virus yang tidak kelihatan.

“Secara peribadi, saya dan isteri duduk sarapan pun tidak terlalu lama macam dahulu, kalau dahulu kita ambil masa lama untuk duduk tetapi sekarang kita perlu ada had,”katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bagi seorang peniaga, Samsul Muharief Mohd Fadli, hampir seminggu Johor memasuki Fasa 3 PPN dan pendapatannya mula bertambah.

Samsul Muharief Mohd Fadli

Jika sebelum ini, purata pendapatan hanya RM50 sehari kini beliau mengakui boleh meraih pendapatan lebih RM100 sehari.

“Bersyukur sangat, kalau sebelum ini memang peniaga di sini sakit. Nak dapat RM100 pun payah. Sekarang syukur sangat.

“Kalau menyentuh soal SOP semua pengunjung saya rasa telah tahu tangungjawab masing-masing,” katanya.

Tinjauan juga mendapati, kehidupan norma baharu seperti pemeriksaan suhu termasuk memakai penutup muka dan hidung sudah menjadi kebiasaan orang awam.

Keputusan membenarkan peralihan fasa bagi negeri-negeri terlibat dipersetujui Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang bermesyuarat baru-baru ini.- MalaysiaGazette