Foto: Facebook The Boeing Company.

WASHINGTON – Seorang bekas Ketua Teknikal Juruterbang Boeing didakwa kerana memperdayakan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat semasa proses penilaian dan pensijilan pesawat B737 Max, menurut kenyataan media Jabatan Kehakiman.

“Juri persekutuan utama di Daerah Utara Texas yang mengembalikan pendakwaan hari ini mendakwa seorang bekas Ketua Teknikal Juruterbang untuk Boeing Company (Boeing) kerana memperdayakan Kumpulan Penilaian Pesawat Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA AEG) berkaitan penilaian FAA AEG terhadap pesawat Boeing 737 Max, dan merancang untuk menipu pelanggan Boeing yang berpangkalan di AS untuk mendapatkan berpuluh-puluh juta dolar untuk Boeing,” kata kenyataan itu seperti dipetik Sputnik.

Jabatan Kehakiman berkata, Mark Forkner, 49, didakwa menyediakan pengawal selia AS dengan maklumat palsu, tidak tepat dan tidak lengkap mengenai sistem baharu kawalan penerbangan pesawat B737 Max.

Para juruterbang tidak menerima latihan sistem baharu kawalan penerbangan yang digunakan B737 Max kerana tindakan Forkner itu, kata kenyataan tersebut.

Berikutan itu, operasi pesawat B737 Max digantung di seluruh dunia antara Mac 2019 dan Disember 2020 kerana kemalangan yang mengorbankan nyawa di Indonesia dan Habsyah pada 2018 dan 2019.

Menurut siasatan yang dijalankan punca kedua-dua kemalangan berkenaan disebabkan kesilapan pada perisian kawalan penerbangan pesawat (MCAS)

Forkner menghadapi dua pertuduhan menipu yang membabitkan bahagian pesawat dalam perdagangan antara negeri dan empat pertuduhan penipuan dalam talian.

Beliau berhadapan dengan hukuman penjara 100 tahun jika disabitkan kesalahan, menurut kenyataan media itu. – Agensi