Menara Berkembar Bank Rakyat di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 03 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Bank Rakyat akan membuka permohonan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (Urus) kepada para pelanggannya mulai 15 November ini.

Program ini ditawarkan kepada pelanggan B50 yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM5,880 dan telah pun menyertai program bantuan bayaran ansuran pembiayaan seperti Bantuan Bayaran Bersasar, PemerkasaPlus, Pemulih, penjadualan dan penstrukturan semula oleh bank setakat 30 September 2021.

Selain itu, pelanggan B50 yang kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan sekurang-kurangnya 50 peratus serta mempunyai pembiayaan yang tidak tertunggak melebihi 90 hari pada tarikh permohonan juga layak untuk menyertai program ini.

Menerusi program ini, pelanggan yang layak boleh mendapatkan pelan kewangan peribadi yang dibangunkan secara holistik oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dengan mengambil kira keadaan kewangan pelanggan dan kemampuan untuk membayar semua obligasi pembiayaan mereka.

Pelan kewangan berkenaan juga akan merangkumi opsyen pengecualian kadar keuntungan pembiayaan untuk tempoh tiga bulan atau pengurangan ansuran untuk tempoh sehingga 24 bulan berserta pengecualian kadar keuntungan pembiayaan selama tiga bulan.

Sepanjang tempoh itu, pelanggan dengan pembiayaan peribadi tanpa penjamin dan kad kredit juga boleh mendapat manfaat daripada pengurangan kadar keuntungan untuk membantu meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berharap kemudahan ini dapat memberi ruang kepada pelanggan individu daripada segmen B50 yang paling terkesan akibat Covid-19.

”Bank Rakyat sentiasa bersedia untuk terus membantu pelanggannya dan mereka yang memerlukan bantuan masih boleh menghubungi bank untuk membincangkan mengenai program bantuan yang bersesuaian dengan kedudukan kewangan mereka bagi memenuhi keperluan kewangan mereka ketika ini,” tambah beliau. – MalaysiaGazette