Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad ( kanan ) berbual bersama penduduk di Segamat, Johor semalam.

SEGAMAT – Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Gemas-Johor Bahru kini sudah mencapai 79.3 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2023.

Perkembangan itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Rel, YTL Construction,  Datuk Seri Azmi Abdul Aziz kepada Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dalam taklimatnya di Terminal Daerah Utama sempena lawatan sehari Menteri Besar Johor ke daerah Segamat semalam.

Hasni turut mendengar taklimat berkenaan Projek Naik Taraf Terminal Pengangkutan Awam Majlis Perbandaran Segamat (MPS) daripada Pegawai Perancang Bandar MPS, Azman Ali.

Projek yang menelan kos  RM500,000 itu dijangka siap menjelang penghujung  tahun ini.

MPS juga bercadang untuk menaik taraf sistem pencahayaan di terminal berkenaan dengan kos RM500,000.

Apabila siap kelak, terminal itu akan dapat meningkatkan kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam di daerah itu.

Lawatan ke daerah  Segamat bermula di Pejabat Daerah Segamat bagi taklimat mengenai dasar Belanjawan Johor 2022  daripada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan).

Sementara itu, bertempat di Medan Selera Makmur, Hasni merasmikan medan selera berkenaan serta menyerahkan bantuan kepada 22 penerima Inisiatif Bantuan One-Off Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 untuk peniaga serta penyerahan Outright Grant kepada lima Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) daerah Segamat.

Selain meninjau perkembangan projek berkenaan, Hasni turut beramah mesra dengan komuniti di situ.

Selain melihat demonstrasi membuat lada jeruk oleh Kumpulan Wanita Jementah.- MalaysiaGazette