Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Selepas negara secara keseluruhannya telah beralih ke fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), kerajaan hari ini melaksanakan program rintis protokol ‘test and release’ (T&R) membabitkan kumpulan pengembara bagi lawatan rasmi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, program ini bermula Isnin depan setelah mendapat persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik.

“Mesyuarat bersetuju untuk melaksanakan program rintis protokol test and release (T&R) dengan syarat perjalanan atau itinery yang ketat dan terhad bagi lawatan rasmi kepada kumpulan pengembara yang dikenalpasti iaitu pembesar negara, menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri, exco kerajaan negeri, ahli-ahli Parlimen dan pegawai-pegawai kerajaan,” katanya.

Tambah, Ismail Sabri, program rintis itu dilaksanakan dengan syarat perjalanan yang ketat dan terhad.

“Pelaksanaan program rintis ini akan berkuat kuasa 18 Oktober 2021 dan akan diperluaskan kepada pengembara perniagaan dalam waktu terdekat,” katanya.

Antara syarat-syarat yang dikenakan adalah mengemukakan permohonan dalam tempoh yang ditetapkan bersama dokumen sokongan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selain itu, kumpulan pengembara bagi lawatan rasmi itu harus menjalani ujian PCR tiga hari sebelum berlepas pulang ke negara serta menjalani ujian PCR sebaik tiba di pintu masuk negara.

“Syarat-syarat ini terhad kepada pengembara yang tiba dari negara yang berisiko rendah sahaja. Syarat ini juga terpakai kepada individu-individu yang lengkap divaksin,” jelas Ismail Sabri lagi. – MalaysiaGazette