Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli (dua kanan) bercakap sesuatu dengan sebahagian wakil pembangkang yang hadir selepas didakwa atas pertuduhan salah guna kuasa di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 14 OKTOBER 2021.

Semalam, seorang lagi ahli parlimen didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan mendapatkan kontrak pekerjaan bagi syarikat di mana bapa dan adiknya mempunyai kepentingan.

Jika dibuat pengiraan, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli ini merupakan ahli parlimen kedua yang didakwa di mahkamah pada tahun ini selepas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas pertuduhan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Natijahnya, apabila berlakunya pertuduhan kes-kes seumpama ini di mahkamah, maka secara automatiknya mereka terus mengaitkan tuduhan rasuah ini bermotifkan politik.

Agensi yang menjadi sasaran pertama tentunya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sering dilabel sebagai ‘senjata politik’ parti pemerintah.

Bagaimanapun, adalah tidak adil terus memberikan persepsi negatif bahawa setiap kali SPRM mendakwa ahli politik dengan rasuah atau salah guna kuasa, ianya dikaitkan dengan campur tangan politik.

Rozman merupakan ahli parlimen Labuan selama dua penggal di bawah kerusi UMNO pada 2013 dan 2018.

Bagaimanapun, dia menyertai Warisan pada 2018 apabila Pakatan Harapan menjadi kerajaan dan Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya umum berkenaan.

Mungkin kes pendakwaan beliau dilihat berlaku secara kebetulan ketika kerajaan Perikatan Nasional memerintah dan diterajui Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ogos 2021.

Berdasarkan laporan media, siasatan terhadap Rozman telah dilakukan bermula Januari 2020 dan kebenaran untuk mendakwa dilakukan pada Julai 2021 setelah siasatan yang teliti dijalankan serta bukannya siasatan yang tangkap muat sahaja.

Bagaimanapun, Rozman mempunyai hak untuk menangkis segala tuduhan terhadapnya ketika kes ini dibicarakan di mahkamah kelak.

Justeru, timbul persoalan bagaimana pendakwaan kes ini dikaitkan dengan motif politik sebagaimana yang didakwa oleh Rozman dalam kenyataan medianya sedangkan pentadbiran kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baharu mengangkat sumpah pada Ogos 2021.

Ini kerana memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara pihak kerajaan dan pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH) pula berlaku pada bulan September iaitu dua bulan selepas perintah kebenaran mendakwa dikeluarkan.

Untuk rekod, PH dianggotai oleh PKR, DAP, UPKO dan Amanah manakala Warisan dan Pejuang tidak berada dalam gabungan itu namun memainkan peranan sama di barisan pembangkang.

Sepatutnya, masyarakat umum mahupun ahli politik harus faham bahawa SPRM berhak melakukan siasatan dan pendakwaan terhadap mana-mana individu selaras dengan status agensi itu sebagai sebuah badan bebas.

Ia adalah proses biasa dalam perundangan negara dan seseorang yang disiasat itu masih tidak terbukti bersalah selagi belum dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

SPRM tentunya ada tatacara tertentu digunakan untuk melakukan siasatan malah kes siasatan membabitkan ahli politik bukannya perkara baru di negara ini.

Sebagai contoh, kes mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan beberapa pemimpin politik lain termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

Hakikatnya, SPRM berhak menyiasat sesiapa sahaja tanpa mengira darjat atau kedudukan kerana siasatan dibuat berdasarkan kepada bukti yang ada dan menyeluruh dengan membabitkan semua proses perundangan.

Justeru, sesiapapun yang sedang menghadapi pertuduhan rasuah harus mempertahankan diri di mahkamah dan bukan membuat tohmahan atau persepsi tertentu seolah-olah mahukan ia diadili oleh masyarakat umum.

Sistem perundangan negara tidak seharusnya diperlekehkan seperti ini dan biarlah segala dakwaan ini diadili di hadapan hakim yang bijaksana dan bukannya di luar mahkamah atau di media sosial.

Sehubungan itu, trend atau budaya ahli politik mengulas dan memberi kenyataan media selepas pertuduhan atau kes-kes yang sedang berjalan di mahkamah perlu dihentikan segera. Ini kerana ia akan merosakkan sistem perundangan dengan persepsi negatif yang diberikan kepada rakyat.

Mohizam Yahya merupakan Penganalisis Politik

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast