Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Individu yang perlu mengambil vaksin tertentu seperti arahan sesebuah negara yang akan dilawati termasuk untuk ibadah umrah boleh memohon mengambil suntikan itu menerusi MySejahtera.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pemberian vaksin akan dibuka kepada mana-mana individu yang perlu ke luar negara yang menetapkan syarat hanya penerima vaksin jenis tertentu sahaja boleh dibenarkan masuk.

“Jadi untuk mereka yang nak pergi umrah atau pun ada syarat-syara negara-negara luar untuk mereka menerima sejenis vaksin dan bukan vaksin yang telah diterima mereka boleh memohon daripada Kementerian Kesihatan.

“Permohonan itu dibuka di MySejahtera mungkin bulan ini kita akan buka pemberian itu untuk mereka yang terpaksa ambil vaksin atas permintaan negara lain,” katanya selepas pelancaran 11th National Acute Myocardial Infarcation Course (NAMIC) 2021 di Hospital Serdang hari ini.

Bagaimanapun, Khairy memberi jaminan untuk terus berusaha menyelesaikan isu diskriminasi jenis vaksin dengan negara-negara yang terlibat.

“Contoh, United Kingdom (UK) membenarkan rakyat Malaysia yang diberikan Pfizer dan AstraZeneca (AZ) masuk tanpa kuarantin berbanding memberi semula vaksin lain. Saya sedang berusaha dengan negara-negara tersebut untuk tidak ada diskriminasi vaksin, terima yang telah divaksin sekurang-kurangnya mereka telah divaksin di bawah yang dicadangkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

“Saya cakap ini sebab banyak negara Muslim mengambil vaksin Sinovac seperti Indonesia , Pakistan, Turki, jadi bila nak pergi umrah, perkara ini perlu difahami oleh pemerintah Arab Saudi.

“Kita tetap akan beri vaksin lain bagi yang memerlukan segera tetapi jalan penyelesaian terbaik adalah tidak ada diskriminasi vaksin,” jelasnya.-MalaysiaGazette