Home Nasional Jangan spekulasi video tular lelaki mahu cederakan orang awam – Polis

Jangan spekulasi video tular lelaki mahu cederakan orang awam – Polis

KUALA LUMPUR – Polis telah mengesan satu video yang dimuat naik dalam media sosial mengenai ugutan seorang individu yang mahu mencederakan orang.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, video itu dikesan sekitar pukul 6.30 petang semalam.

Semakan lanjut mendapati video itu dimuatnaik oleh pemilik halaman Facebook menggunakan nama profil “Kongsi Segala Info”.

“Video berdurasi 29 saat ini telah tular di laman sosial kerana memaparkan tindakan seorang lelaki mahu mencederakan orang awam ketika sedang menaiki eskalator di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu negara.

“Bagaimanapun, tarikh dan masa kejadian sebenar video ini dirakamkan tidak dapat dipastikan buat masa ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anuar menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video berkenaan sehingga pihaknya selesai menjalankan siasatan.

Beliau juga meminta kerjasama mangsa atau mana-mana saksi awam yang mempunyai maklumat berkaitan video terbabit dikehendaki hadir memberi keterangan kepada polis bagi membantu siasatan.

“Sebarang perlanggaran yang menyalahi peruntukan undang-undang boleh dikenakan tindakan.

“Tiada sebarang laporan polis diterima setakat ini, bagaimanapun kita sedang terus memantau,” katanya.

Maklumat lain berkaitan jenayah hendaklah disalurkan melalui Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.- MalaysiaGazette