Abd Jalil Hassan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat pendedahan berkaitan Pandora Papers membabitkan wang Malaysia berada di luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, setakat ini pihaknya telah menerima empat laporan berhubung perkara itu.

Daripada empat laporan yang diterima, dua daripadanya diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) kerana berkaitan dengan aktiviti penyerahan memorandum dan menggesa siasatan dibuat.

“Bagi dua lagi laporan polis, PDRM telah pun membuka kertas siasatan dan menjalankan rakaman percakapan pengadu yang membuat laporan polis mendesak siasatan dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Abd Jalil, satu kertas siasatan yang dibuka dan telah  dirujuk kepada Bank Negara Malaysia pada 14 Oktober lalu.

“Manakala satu lagi kertas siasatan akan dirujuk kepada Bank Negara pada Isnin 18 Oktober ini untuk siasatan lanjut,” tegasnya.-MalaysiaGazette