Kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menaik taraf fasiliti termasuk kemudahan lif di Perumahan Awam Seri Perak, Bandar Baru Sentul demi keselesaan kepada lebih 1,000 keluarga.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menaik taraf fasiliti termasuk kemudahan lif di Perumahan Awam Seri Perak, Bandar Baru Sentul demi keselesaan kepada lebih 1,000 keluarga.

Bagi tujuan itu dana sebanyak RM8.4 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan pusat, kata Bahagian Komunikasi Korporat KWP.

Ia sebahagian daripada peruntukan berjumlah RM11.6 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini bagi pelaksanaan projek-projek baik pulih dan naik taraf infrastruktur awam.

“Kementerian dan DBKL akan menggunakan dana yang diperuntukkan itu bagi pelaksanaan kerja-kerja pengantian 14 unit lif di tujuh buah blok (dua lif bagi setiap blok) di Perumahan Awam Seri Perak.

“Tindakan pengantian ini dibuat setelah mengambil kira kaedah penyelenggaraan yang tidak efektif dan ekonomi kerana kos yang diperlukan sangat tinggi untuk membaiki kerosakan lif yang sudah uzur,” kata kenyataan tersebut.

Kerja-kerja pengantian lif ini bermula pada awal tahun depan.

Perumahan Awam Seri Perak dengan tujuh blok setinggi 17 tingkat setiap bangunan telah didirikan di tanah seluas 20.8 ekar di Bandar Baru Sentul telah mula diduduki penduduk bermula 1 Mei 1986.

Setiap blok terdiri daripada 204 unit dengan dua bilik dan satu bilik air di setiap unit dan keseluruhan sebanyak 1428 unit merangkumi perumahan awam itu.

Sebagai tambahan, sebanyak RM1.8 juta peruntukan tambahan telah disediakan bagi pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf sistem pendawaian elektrik di PA Seri Perak dan sejumlah RM400,000 adalah disediakan bagi kerja-kerja menaiktaraf Dataran Serbaguna seperti penggantian lantai, lampu-lampu dan infrastruktur riadah untuk menjadikannya lebih selesa dan selamat.

Selain itu di bawah pakej PEMERKASA, kerajaan telah memperuntukkan RM1.0juta bagi pelaksanaan projek-projek kecil yang melibatkan kerja-kerja pengantian taman permainan kanak-kanak, pengantian bumbung di Blok 31, pembaikpulihan padang futsal, kerja-kerja pengantian longkang yang pecah, pambaikpulihan parking motorsikal di kesemua blok dan pemasangan pagar walkaway di PA Seri Perak yang telah siap 80 peratus setakat ini.

“Justeru, kerajaan akan sentiasa memantau keperluan-keperluan rakyat dari semasa ke semasa bagi memastikan aspek kesejahteraan dan kebajikan rakyat sentiasa dijaga khususnya berkaitan isu penyelenggaraan fasiliti kemudahan awam di PPR dan Perumahan Awam di ibu negara.

“Ia bagi merealisasikan matlamat Keluarga Malaysia:Makmur, Inklusif, Mampan dicapai sepenuhnya,” kata kenyataan yang sama.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

67 PPR, perumahan awam di KL bakal dapat lif baharu – PM