KUALA LUMPUR – UMNO perlu kembali menjadi parti tonggak sekaligus kembali memegang tampuk pemerintahan pada pilihan raya yang akan datang.
Ketua UMNO Bahagian Pekan Datuk Seri Najib Razak berkata, kestabilan politik negara akan dapat dikembalikan sekiranya UMNO dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN) kembali menjadi kerajaan Persekutuan.
“Pada kali ini kerajaan dipimpin oleh Datuk Seri Ismail Sabri, Naib Presiden UMNO mewakili parti UMNO. Kita ucap tahniah dan beri sokongan supaya beliau berjaya sebagai seorang Perdana Menteri mewakili UMNO kerana kejayaan beliau juga kejayaan parti UMNO.
“Perubahan kepimpinan ini perlu kita jelaskan bahawa tidak beerti kerajaan yang ada pada hari ini, kerajaan mutlak UMNO, ia masih merupakan kerajaan campuran dengan sebahagian jemaah menteri dan timbalan menteri terdiri daripada wakil-wakil Bersatu, Pas dan PBS (Parti Bersatu Sabah).
“Dalam keadaan itu maka kita tidak mungkin dapat memenuhi kesemua tuntutan kita kerana kita tidak ada majoriti mutlak dalam PRU lalu dan kini kita tidak boleh tubuh kerajaan tanpa ada dokongan dan sokongan daripada parti-parti lain.
“Sebab itulah kalau kita ingin negara kita kembali sedia kala, sebagai sebuah negara yang selama ini terkenal atau tersohor atas sebabnya kestabilan politik, yang tidak ada tolok bandingan dengan negara lain yang mengamalkan demokrasi
“Kalau kita inginkan era dan zaman tersebut berulang kembali maka kita kena pastikan dalam PRU15 UMNO akan dapat muncul sebagai parti tonggak yang menubuhkan kerajaan, kerana parti ini mempunyai bilangan kerusi terbesar,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Cawangan UMNO Pekan hari ini.
Namun bekas Perdana Menteri itu mengakui UMNO masih lagi tidak memutuskan sama ada akan bekerjasama dengan parti politik yang lain selain rakan komponen BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) atau sebaliknya.
“Sama ada kita akan ada rakan-rakan lain itu pada masa sekarang ini masaih lagi tanda tanya. Saya sendiri pun agak sukar menjawab apakah bentuk kesepakatan politik yang akan muncul dalam PRU-15,” ujarnya.
Beliau berkata, UMNO tidak boleh mengharapkan sokongan daripada parti lain semata-mata sebaliknya perlu memperkuatkan parti itu untuk mampu berdiri di atas kaki sendiri dan memastikan dapat memenangi pilihan raya.
Sehubungan itu, Najib menasihatkan akar umbi parti di cawangan Pekan supaya terus memperkuatkan parti dan menunjukkan sikap baik kepada masyarakat.
Jelasnya, bukan sahaja sikap yang baik akan dapat menarik undi, dalam masa yang sama hubungan baik dengan penduduk setempat juga akan memberi sumbangan besar terhadap pilihan pengundi.
“Apa pun kita mesti melihat kekuatan dalaman kita sebagai asas kekuatan UMNO. Kita tidak boleh bergantung kepada orang lain kalau ada baguslah, kalau tidak ada UMNO mestilah berjuang atas kaki sendiri saya percaya dalam konteks Parlimen Pekan dan DUN-DUN, insya-Allah kita mampu berdiri atas kaki sendiri dan mampu menyumbang kejayaan nasional dan terbentuknya sekali lgi kerajaan BN
“Sehubungan dengan ini apakah yang perlu kita lakukan sebagai pemimpin-pemimpin akar umbi, janganlah terlalu mengharapkan kemewahan dalam segi apa juga yang kita nak dilakukan kerana kemewahan dan material bukan penentu kejayaan. Malah kalau kita lebih menunjuk, berlagak, itulah punca kekalahan orang tidak suka.
“Sebagai ketua cawangan bukan bererti kita menjaga anak buah, ahli UMNO dalam cawangan tetapi kita mesti jaga semua orang bererti kita mesti ada hubungan kerjasama yang rapat dengan Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid, JKK, Ketua Kampung, Persatuan Belia, NGO, pegawai kerajaan dan sebagainya ini semua kumpulan sasar kita,” tambahnya.-MalaysiaGazette