Gambar hiasan.

KUANTAN – Seorang juruteknik kerugian lebih RM13,000 ditipu sindiket pinjaman tidak wujud di laman Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berminat untuk melakukan pinjaman telah menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada suspek.

“Mangsa kemudian telah diminta untuk menyerahkan maklumat peribadi seperti gambar kad pengenalan, penyata bank dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta slip gaji.

“Suspek mengarahkan mangsa untuk membuat lima transaksi pembayaran secara dalam talian ke tiga akaun berbeza bagi proses pinjaman wang  pada 14 dan 15 Oktober 2021,” katanya hari ini.

Tambah Wazir, transaksi tersebut bertujuan untuk menjelaskan duti setem, cukai dan pembukaan akaun VIP dan mangsa dimaklumkan wang pinjaman akan dimasukkan ke dalam akaun tersebut.

Bagaimanapun, menurutnya, mangsa diberitahu terdapat masalah untuk proses wang itu dan beliau diminta untuk membuat pembayaran lagi.

“Pengadu mula mengesyaki mereka adalah scammer dan mengalami kerugian berjumlah sebanyak RM13,310.

“Mangsa kemudian telah ke balai polis Mentakab untuk membuat laporan berhubung perkara berkenaan pada Sabtu lalu,” katanya.

Mohd Wazir berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun serta sebat dan boleh didenda. – MalaysiaGazette