minuman keras bernilai RM 2.6 juta di Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor merampas alat ganti kenderaan mewah dan minuman keras bernilai RM2.6 juta dalam serbuan yang dilakukan di Kampung Pasir dan Plaza Tol Kempas, di sini, baru-baru ini.

Pengarahnya, Sazali Mohamad berkata, menerusi serbuan pertama dilakukan sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Sungai Pulai JKDM Johor ke atas sebuah lori kontena di jalan bertingkat Skudai berhampiran Kampung Pasir pada jam 5.30 petang 30 September lalu sebanyak 9,364 alat ganti bernilai RM363,340 dirampas.

Katanya, jumlah cukai dielakkan dalam serbuan itu adalah sebanyak RM145,736 selain sebuah lori kontena dianggarkan bernilai RM80,000 turut disita.

“Kita mendapati sindiket membuat pengikraran yang tidak benar dan mengelirukan bagi tujuan mengelakkan dikenakan cukai yang tinggi. Alat ganti kenderaan mewah itu dipercayai dibawa dari Singapura.

“Kita juga menahan pemandu lori kontena warga tempatan berusia 51 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 131(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya pada sidang akhbar di Menara Kastam Johor, di sini, hari ini.

Menurut Sazali, pada 8 Oktober lalu, pihaknya melakukan satu lagi serbuan melibatkan sebuah lori treler semi kargo yang mengandungi 17,000 botol pelbagai jenis minuman keras bernilai RM324,7200 dengan nilai cukai RM1.72 juta.

Jelasnya, anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Johor Bahru telah memintas lori tersebut ketika pemandunya selesai membayar tol di Plaza Tol Kempas menghala utara.

”Hasil pemeriksaan dilakukan ke atas lori treler semi kargo itu mendapati terdapat minuman keras pelbagai jenama tidak bercukai disembunyikan di ruangan kargo di belakang lori treler tersebut.

“Turut disita lori treler berkenaan yang dianggarkan bernilai RM100,000,”katanya.

Lori treler semi kargo itu dipercayai baharu memasuki negara ini dari Singapura melalui salah sebuah pintu masuk utama menuju ke ibu negara.

Dua lelaki warga tempatan berusia 34 dan 56 tahun yang merupakan pemandu dan kelindan lori treler semi kargo ditahan untuk membantu siasatan, ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. – MalaysiaGazette