Hasni ( tengah) menyerahkan replika kunci rumah kepada salah seorang penerima di Pusat Komuniti Taman Ekoflora di Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor akan mencari cara terbaik untuk mengatasi masalah 70,000 rumah tidak terjual, tidak diduduki atau terbiar di sekitar bandar raya ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, antara punca masalah itu disebabkan dasar dan syarat baharu pemilikan rumah seperti Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Tambah beliau, , pihaknya bercadang akan bekerjasama dengan syarikat hartanah untuk memperkenalkan program penyewaan kepada generasi muda.

“Jadi kita perlukan kerajaan negeri bekerjasama dengan ejen hartanah mengenal pasti unit yang boleh kerajaan masukkan dalam rancangan penyewaan kepada generasi muda.

“Dalam kawasan bandaraya Johor Bahru lebih 70,000 unit rumah yang tidak terjual, belum diduduki dan mungkin dah jual tapi tiada orang duduk, ditinggal sepenuhnya oleh pemilik.

“Kita tidak boleh berada dalam keadaan begitu, kita mahu jadi bandar raya yang dinamik,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Teres Kos Sederhana Rendah dan Rumah Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) Taman Setia Indah di Pusat Komuniti Taman Ekoflora, di sini, hari ini.

Pada majlis itu seramai 177 pemilik rumah teres 2 tingkat kos sederhana rendah di Taman Setia Indah (Fasa 3B) menerima kunci rumah masing-masing.

Menurut Hasni, terdapat 3 fasa dalam pembangunan projek perumahan tersebut yang mana fasa 2 merangkumi pembinaan 136 buah rumah, fasa 3A melibatkan pembinaan 95 buah kediaman dan fasa 3B melibatkan pembangunan 196 buah rumah dengan keluasan 1,000 kaki persegi. – MalaysiaGazette