SEREMBAN – Keperitan hidup lima beranak yang hilang tempat berteduh apabila terpaksa keluar dari rumah sewa mereka dan menjadikan kenderaan pelbagai guna (MPV) sebagai tempat tidur sejak tiga bulan lepas mendapat perhatian Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
MAINS melalui hantaran di laman Facebook memaklumkan pihaknya menziarahi keluarga Muhammad Mujahid Mohd Kamal Jalani di sebuah lokasi di Bukit Chedang di sini petang semalam bagi menguruskan bantuan yang diperlukan.
Hantaran itu menyebut Muhammad Mujahid, 32, dan isterinya, Sayidah Suhaila Mohd Shukri, 28, sudah empat tahun bermastautin di Negeri Sembilan serta mempunyai tujuh anak.
MAINS juga menyatakan Muhammad Mujahid mempunyai masalah cakera teranjak atau slipped disc manakala isterinya menghidap penyakit asma yang kronik menyebabkan usaha pasangan itu dalam mencari dan meneruskan pekerjaan terganggu.
Katanya melalui zakat MAINS, keluarga itu akan dibantu dengan penempatan rumah sewa baharu beserta bayaran deposit, bantuan kewangan kecemasan dan barangan dapur. – Bernama