Anwar Ibrahim

RAWANG – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia untuk memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap pendedahan Pandora Papers, baru-baru ini.

Menurut beliau, pendedahan yang dibuat oleh beliau di Parlimen sejak 2012 harus segera disiasat dan beliau mengalu-alukan perkara itu dibuat oleh kerajaan.

“Saya tidak ada masalah (untuk dipanggil SPRM). Saya boleh beri kerjasama tapi sebagaimana kita tahu kita mahu siasatan itu melibatkan agensi seperti Bank Negara Malaysia, LHDN, SPRM dan PDRM.

“Saya akan beri kerjasama apa yang saya ada tambahan yang lebih.

“Seperti yang kita tahu ia satu badan antarabangsa yang buat siasatan sepatutnya SPRM menyegerakan kerana ini bukan benda baharu, kes ini keluar daripada badan integriti antarabangsa yang saya telah bongkar di Parlimen minta siasatan semenjak 2012 lagi,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas merasmikan Wisma SP Care dan majlis penghargaan barisan hadapan SP Care di Serendah, hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menjawab pertanyaan media berhubung kenyataan SPRM bahawa pihaknya meminta Ketua Pembangkang itu untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat mengenai isu pendedahan Pandora Papers.

SPRM dalam kenyataan semalam memaklumkan suruhanjaya itu akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan agensi berkaitan bagi menjalankan siasatan berhubung isu tersebut.

Dalam pada itu, Anwar berharap isu Pandora Papers tidak didiamkan begitu sahaja oleh kerajaan.

“Kalau SPRM baru nak buka kertas siasatan, itu masalah sikit tapi saya alu-alukan keputusan SPRM untuk siasatan tapi jangan kenyataan siasatan itu sebagai respon kerana orang suarakan tetapi kemudian tertutup begitu sahaja,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya menerima empat laporan polis berhubung isu tersebut.

Pandora Papers adalah pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia menyembunyikan kekayaan dengan menggunakan perkhidmatan ‘offshore’ atau syarikat berpangkalan di luar negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pendedahan Pandora Papers.

Pada Isnin lalu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, BNM sedia bekerjasama dengan agensi penguatkuasa undang-undang untuk memantau dan menyiasat dokumen terkandung dalam Pandora Papers yang membabitkan individu di negara ini. – MalaysiaGazette