Ketua Polis Daerah Shah Alam, Baharudin Mat Taib.

KUALA LUMPUR – Polis menerima dua laporan berhubung kes viral suspek mencuri laptop rakan serumah di Setia Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, dua laporan yang diterima daripada pengadu yang merupakan pelajar perempuan Melayu bagi kes di Seksyen 7 dan pengadu seorang perempuan Melayu yang bekerja sebagai pegawai hartanah bagi kes di Setia Alam.

Katanya, dalam kedua-dua laporan polis, suspek disyaki telah masuk rumah dengan menggunakan kunci kerana tiada kesan pecah pada pintu.

“Pengadu kes di Seksyen 7 mendapati, tiga laptop jenama Acer hilang dan setelah melihat rakaman CCTV mendakwa suspek adalah rakan serumahnya, manakala pengadu kes di Setia Alam kehilangan satu tablet Samsung, dua laptop milik pengadu dan rakan serumah (suspek) dikatakan hilang wang tunai RM5,000,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Baharudin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga sepuluh tahun, dan boleh juga dikenakan denda.

Ujarnya, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menyalurkan maklumat dengan menghubungi Sarjan Shatish (010-564 3645) atau Sarjan Kaszai (0139780282) untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette