Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Skuad Waja di Kipmall Kota Warisan, Sepang. Foto AFFAN FAUZI, 17 OKTOBER 2021.

SEPANG – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan 100,000 sukarelawan Skuad Waja atau Wanita Anti Jenayah menjelang akhir tahun dalam usaha membendung isu keganasan terhadap wanita di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, sehingga kini , seramai 30,000 sukaralewan berjaya dilatih di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak bermula daripada awal tahun ini.

Jelas beliau, sukarelawan Skuad Waja di bawah selian Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) itu bukan sahaja terdiri daripada wanita malah kaum lelaki juga digalakkan menyertainya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun meluangkan masa melawat pameran pada Majlis Pelancaran Skuad Waja di Kipmall Kota Warisan, Sepang. Foto AFFAN FAUZI, 17 OKTOBER 2021.

“Penglibatan kaum lelaki sebagai Skuad Waja amatlah digalakkan kerana ia memberi gambaran bahawa isu menangani keganasan terhadap wanita adalah isu bersama.

“Keahlian terbuka kepada warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan KPWKM menyeru agar lebih ramai warga Malaysia mendaftar sebagai sukarelawan Skuad Waja,” katanya kepada media selepas melancarkan Skuad Waja di Kota Warisan, di sini, hari ini.

Rina memberitahu, hasil daripada perlaksanaan Skuad Waja itu sehingga 12 Oktober lalu sebanyak 775 kes telah berjaya dibimbing dan dibantu oleh ahlinya.

“Bagi program Skuad Waja Turun Padang pula, sebanyak 262 kes telah dilaksanakan melibatkan 3,537 individu yang disantuni .

“Setiap ahli Skuad Waja yang mendaftar diberikan panduan melalui Modul Skuad Waja yang telah dibangunkan oleh JPW dengan kerjasama Institut Sosial Malaysia (ISM) untuk memberi bantuan dan bimbingan awal kepada mangsa,” katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun bergambar dengan peserta-peserta yang hadir pada Majlis Pelancaran Skuad Waja di Kipmall Kota Warisan, Sepang. Foto AFFAN FAUZI, 17 OKTOBER 2021.

Rina menambah, peranan Skuad Waja dalam komuniti terutamanya dalam tempoh pandemik adalah penting dan banyak membantu komuniti sebelum ini.

Menurutnya, penubuhan skuad itu menjadi tunjang kekuatan baharu KPWKM dalam menjayakan agenda pemerkasaan Keluarga Malaysia seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri menerusi Fokus Keenam Rancangan Malaysia Ke-12.

Pelancaran Skuad Waja membuktikan bahawa usahasama kerajan dengan komuniti dalam menangani isu keganasan terhadap wanita adalah tanggungjawab bersama.

“la juga merupakan amanah dan tugas yang perlu dikongsi seluruh ahli masyarakat.

“Justeru, semua inisiatif dan program yang dilaksanakan oleh
KPWKM melalui program Skuad Waja ini perlu digiatkan lagi dan disebarluaskan untuk membantu mangsa keganasan,” katanya.
– MalaysiaGazette