Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Skuad Waja di Kipmall Kota Warisan, Sepang. Foto AFFAN FAUZI, 17 OKTOBER 2021.

SEPANG – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan melancarkan Tol Free Helpline FamilyCare @LPPKN dalam masa terdekat ini.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, perkhidmatan kaunseling secara dalam talian oleh Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu telah mula beroperasi bulan lalu.

“LPPKN telah memperkenalkan talian bebas bagi membantu mereka yang mengalami rumah tangga.

“Sejak diperkenalkan September lalu, ada kes yang berjaya santuni secara kaunseling.

“Ia turut melibatkan kerjasama dengan agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kemajuan Islam di mana talian bebas ini akan dilancarkan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Skuad Waja atau Wanita Anti Jenayah di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin bahawa kira-kira lima permohonan perceraian membabitkan pasangan Islam diterima mahkamah syariah seluruh negara dalam tempoh sejam.

Katanya, ia menjadikan purata 121 permohonan difailkan dalam tempoh sehari, manakala bagi permohonan perceraian membabitkan pasangan bukan Islam pula, purata 18 kes direkodkan di seluruh negara dalam tempoh sehari. – MalaysiaGazette