Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih skuad B-22 tahun negara, Brad Maloney memanggil pemain pertahanan Selangor, Harith Haiqal bagi menyertai kem latihan pusat menjelang saingan kelayakan AFC Bawah 23 tahun (B-23) yang akan bermula akhir bulan ini.

Perkara ini diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi laman media sosial rasmi badan itu sekaligus memberikan Brad salah seorang pemain penting kepada skuadnya.

Sebelum ini, Harith dilaporkan tidak dapat beraksi bersama skuad B-22 tahun negara ekoran tidak mendapat pelepasan daripada kelabnya, Selangor FC yang sedang mengalami krisis di bahagian pertahanan.
Menurut perkongsian Youth Football Malaysia, keputusan Selangor C untuk memberi pelepasan kepada pemain berusia 19 tahun itu untuk menyertai skuad B-22 tahun adalah kerana pengumuman oleh kerajaan yang memendekkan tempoh kuarantin.
Tempoh kuarantin yang pendek itu membolehkan Harith terus beraksi bersama Selangor dalam saingan Piala Malaysia selepas menamatkan tugasan bersama skuad kebangsaan.

Pasukan negara akan berlepas ke Ulaanbaatar, Mongolia pada 20 Oktober bagi menghadapi saingan kelayakan dari 25 hingga 31 Oktober ini.

Malaysia diundi dalam kumpulan J bersama Laos, Mongolia dan Thailand. – MalaysiaGazette