KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk memendekkan kontrak perkhidmatan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Datuk Seri Sabin Samitah berkuatkuasa esok.
LHDNM dalam kenyataan di sini berkata, pemendekkan kontrak perkhidmatan itu telah dipersetujui Sabin bagi membolehkan beliau menceburi bidang bersesuaian dengan minat beliau.
“LHDNM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Dr Sabin Samitah atas sumbangan bakti selama beliau berkhidmat dengan LHDNM dan mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” kata kenyataan itu.
Kenyataan ini menjawab desas-desus peletakan jawatan beliau yang bertiup kencang sebelum ini.
Pada 9 September lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat laporan polis terhadap LHDN dengan mendakwa saman tuntutan cukai yang dikenakan kepadanya bermotifkan politik.
Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa, pegawai-pegawai LHDN dan ahli-ahli politik tertentu telah menyalahgunakan kuasa dan menggunakan dokumen palsu dengan tujuan menganiaya dirinya.
Katanya, tindakan itu sekali gus bercanggah dengan Seksyen 167, Seksyen 192, Seksyen 196, Seksyen 197 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan jenayah berkenaan.
“Saya telah menerima banyak maklumat tentang denda cukai tambahan yang dikenakan terhadap saya. Ada yang datang menemui saya memohon maaf dan memberitahu bahawa kes cukai tambahan RM1.7b ini sebenarnya telah disiasat tiga kali sejak 2018.
“Malah mereka sendiri akui, setelah tiga kali siasatan itu dijalankan dengan penuh teliti, mereka tidak menemui apa-apa kesalahan yang dilakukan saya dan tiada penalti cukai yang patut dikenakan terhadap saya.
“Namun, selepas tiga kali siasatan itu selesai dan hasilnya jelas saya tidak melakukan sebarang kesalahan mengikut undang-undang, ada pegawai tertinggi LHDN yang mengarahkan untuk teruskan penalti cukai terhadap saya kerana telah diarahkan oleh ahli-ahli politik tertentu,” kata Najib menerusi hantaran di Facebooknya.
Kerajaan memfailkan saman terhadap Najib pada Jun 2019 bagi menuntut lebih RM1.69 bilion dengan kadar faedah lima peratus setiap tahun bermula dari tarikh penghakiman serta kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Beliau dilaporkan tidak mengisytiharkan kira-kira RM4 bilion dalam tempoh tersebut termasuk RM2.6 bilion yang didakwa penyiasat Amerika Syarikat berasal dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – MalaysiaGazette