Gula dikaitkan dengan pelbagai penyakit termasuk diabetes dan obesiti.

MENGURANGKAN risiko kematian akibat Covid-19 dengan mendapatkan vaksin, mengamalkan langkah pencegahan jangkitan, dan penjagaan diri yang baik.

Seorang wanita menghidap diabetes jenis 2, hipertensi (tekanan darah tinggi) dan obesiti. Bimbang akan terkena jangkitan Covid-19, beliau tidak menghadiri rawatan perubatan berkalanya.

Walau bagaimanapun, beliau telah mendapatkan dos pertama vaksin Covid. Beliau juga memastikan dirinya mengikuti semua
langkah pencegahan lain seperti hanya keluar rumah apabila ada urusan penting sahaja.

Malangnya, beliau telah dijangkiti Covid-19 dan dimasukkan ke hospital pada hari keenam dalam keadaan kategori 4. Keadaannya merosot dengan cepat dan beliau telah dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi.

Walaupun semua langkah telah diambil termasuk memberi bantuan pernafasan melalui mesin, beliau akhirnya meninggal dunia akibat kegagalan pelbagai organ hanya selepas 4 hari rawatan di hospital. Beliau hanya baru berumur 49 tahun!

Diabetes, Obesiti Menyumbang Jangkitan Covid-19 yang Teruk

Kisah yang menyedihkan ini mengesahkan apa yang telah diketahui dari peringkat awal iaitu – faktor risiko untuk jangkitan Covid-19 yang teruk dan kematian adalah usia lanjut (lebih 60 tahun), diabetes, hipertensi, masalah buah pinggang, penyakit jantung dan obesiti. Lebih banyak faktor risiko yang di hidapi, lebih tinggi kebarangkalian untuk meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19!

Statistik Kebangsaan menunjukkan pemerhatian yang sama seperti di negara-negara lain. Data kematian Covid-19 terkini yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Klinikal Malaysia pada 29 Ogos 2021 mendapati bahawa:
● Hampir satu dalam 1,000 rakyat Malaysia yang dijangkiti COVID-19 telah meninggal dunia (kadar kematian kes = 0.94%)
● Lelaki mempunyai risiko yang lebih tinggi (58% lelaki berbanding 42% wanita)
● 6 daripada 10 kematian adalah di kalangan pesakit yang berumur lebih 60 tahun.
● 8 daripada 10 kematian (82%) berlaku di kalangan mereka yang mempunyai sekurang-kurangnya 1 komorbiditi – 3 daripada 10 pesakit menghidap hipertensi; 2 daripada 10 pesakit menghidap diabetes; 1 daripada 12 pesakit menghidap penyakit buah pinggang.

Diabetes adalah penyumbang utama morbiditi yang teruk dan kematian akibat Covid-19. Paras gula yang tinggi dalam darah menjejaskan system imunisasi badan dan mengurangkan kemampuan tubuh untuk melawan jangkitan.

Oleh itu, pesakit diabetes yang tidak terkawal dan dijangkiti Covid-19 menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk mengalami symptom COVID-19 yang teruk, pneumonia (radang paru-paru),
perlu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi dan kematian.

Ini terbukti apabila 3-4 daripada 10 pesakit yang memerlukan rawatan rapi di hospital kerana jangkitan Covid-19 yang teruk, atau yang meninggal akibatnya, didapati menghidap diabetes. Lebih menyedihkan adalah, 1 daripada 4 penghidap diabetes yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi akibat Covid-19 berakhir
dengan kematian.

Statistik ini menekankan betapa penting bagi penghidap diabetes untuk mengelak diri dari dijangkiti Covid-19. Walaupun kebarangkalian untuk mereka mendapat jangkitan tersebut sama seperti orang lain, namun jika dijangkiti, mereka adalah 3 kali ganda berisiko untuk mendapat pneumonia Covid-19 yang teruk,
kerosakan organ akhir lain, dan kematian.

Obesiti adalah di antara risiko utama untuk jangkitan COVID-19. Sebelum ini, ia hanya dianggap sebagai masalah kesihatan sampingan yang berkait rapat dengan diabetes, hipertensi dan penyakit kardiovaskular yang telah diketahui dapat menyebabkan risiko jangkitan COVID-19 yang teruk.

Walau bagaimanapun, data terkini dari kajian berskala besar telah mengesahkan bahawa obesiti adalah faktor risiko yang tersendiri dan serius untuk jangkitan Covid-19 yang teruk. Malah, obesiti adalah faktor yang menganjak risiko jangkitan Covid-19 yang teruk di kalangan golongan muda.

Ini bermakna individu berlebihan berat badan/obes yang berumur bawah 50 tahun lebih cenderung untuk mendapat jangkitan
Covid-19 yang teruk (seperti pesakit yang diceritakan di awal artikel ini).

Peningkatan obesiti di Malaysia memperlihatkan betapa teruknya tahap kesihatan populasi negara kita terutamanya berkaitan penyakit metabolisma.

Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 mendapati bahawa 1 daripada 2 orang dewasa di Malaysia mengalami kelebihan berat badan atau obes; dan 1 daripada 5 orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes! Kesemua fakta yang tidak menyenangkan ini telah menyumbang kepada kenaikan statistik Covid-19 yang meningkat serta kadar kematian yang
tinggi sejak 3-4 bulan lalu!

Pencegahan Amat Penting Sekiranya Anda Menghidap Diabetes
Di saat sekatan sosial dilonggarkan dan orang ramai memulakan perjalanan (mungkin juga untuk balik kampung), adalah penting untuk anda mengekalkan semua amalan pencegahan bagi menghindari jangkitan Covid-19.

Perlu di ingatkan, sentiasa kekalkan penjarakan fizikal, pakai pelitup muka, dan kerap cuci/basmi kuman tangan anda, terutamanya apabila berinteraksi dengan ahli keluarga yang tidak divaksin seperti cucu anda.

Dapatkan vaksin Covid-19 jika anda belum berbuat demikian! Kajian telah mengesahkan bahawa vaksin-vaksin yang digunakan di Malaysia adalah efektif, termasuk penghidap diabetes.

Namun begitu, seperti kebanyakan vaksin lain, perlindungan yang diberikannya BUKANLAH 100%. Anda masih boleh dijangkiti selepas menerima vaksin (jangkitan bolos), tetapi kebarangkalian mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk dan kematian amat rendah. Cuba elakkan situasi yang boleh menyebabkan
anda dijangkiti.

Jaga Diri dengan Lebih Baik

Penghidap diabetes biasanya mempunyai faktor risiko lain yang berkaitan seperti lanjut usia, hipertensi, obesiti, fungsi buah pinggang tidak normal dan penyakit jantung. Dengan menjaga kesihatan, mereka boleh mencegah virus Covid-19 dari mengancam nyawa mereka.

Malangnya, dalam keadaan pandemik ini, ramai penghidap diabetes tidak mengawal paras gula dalam darah, tidak ambil peduli akan tekanan darah dan membiarkan berat badan bertambah.

Ada juga yang tidak menghadiri pemeriksaan rawatan berkala. Mungkin ada yang menganggap masalah kesihatan mereka akan
hilang hanya kerana mereka tidak keluar dari rumah.

Sebagai penghidap diabetes, anda perlu mengambil berat tentang kawalan paras gula dalam darah kerana ia boleh mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 yang teruk dan risiko kematian.

Jadi, ambillah ubat seperti yang disarankan, jaga pemakanan anda, kekal aktif, dan pantau paras glukosa anda dengan kerap.
Pastikan anda juga menguruskan tekanan darah dan masalah kesihatan kronik lain yang mungkin ada, dan kurangkan berat badan/obesiti.

Akhir sekali, hadiri setiap rawatan berkala yang telah dijadualkan.
Covid-19 mengancam semua orang, tetapi kesannya lebih teruk bagi golongan penghidap diabetes dan obesiti.

Oleh itu, jagalah diri dan kesihatan anda. Pastikan anda mendapat vaksin Covid-19 bagi mengelak dari dijangkiti virus tersebut.

Artikel disumbangkan oleh Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia, Oktober 2021.