Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) kesal dan kurang bersetuju dengan pengumuman yang dibuat Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada hari ini.

Majlis Presiden PH turut melahirkan rasa kesal apabila pengundi yang lengkap dua dos vaksin sahaja yang akan dibenar mengundi.

“Kami kesal dengan kenyataan Pengerusi SPR dan berpandangan tindakan tersebut berkemungkinan melanggar Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan berhubung kelayakan pemilih.

“Sungguhpun PH menyokong penuh usaha pemberian vaksinasi kepada semua, ia tidak boleh dijadikan alasan tindakan diskriminasi ke atas mereka yang belum lengkap dua dos, dan tindakan menghalang ini berkemungkinan tidak sah dari segi undang-undang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri  Wilfred Madiua Tangau.

Majlis Presiden PH turut menggesa pihak SPR untuk mengkaji semula pendirian itu bagi memastikan semua warganegara yang layak menjadi pemilih berdasarkan Perlembagaan Persekutuan boleh keluar mengundi sekiranya PRN Melaka diteruskan.

Dalam kenyataan berasingan, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari akan memfailkan satu injunksi mahkamah berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Rabu ini.

Satu sijil perakuan segera (certificate of urgency) turut difailkan agar perkara ini dapat disegerakan, memandangkan Notis Pembubaran DUN Melaka hanya dikeluarkan pagi tadi.

Menurut kenyataan itu, Majlis Presiden PH menyokong penuh tindakan mahkamah yang diambil itu dan berpendapat pembubaran DUN Melaka dilakukan berdasarkan nasihat yang salah.

Katanya, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam seharusnya mengikuti duluan di peringkat Persekutuan, yang mana Yang di-Pertuan Agong telah memanggil menghadap blok yang dipercayai mempunyai sokongan majoriti terlebih dahulu.

“Kami juga masih mengekalkan pendirian bahawa Datuk Seri Sulaiman Md Ali sepatutnya tidak dinamakan sebagai Ketua Menteri ‘caretaker’.

“Ini kerana beliau dengan jelas telah hilang sokongan majoriti sebelum tindakan pembubaran DUN Melaka berlaku,” katanya.

Majlis Presiden PH juga berpendirian bahawa waktu ini bukan masa paling sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri, memandangkan penularan wabak Covid-19 baru menunjukkan trend penurunan, sektor-sektor ekonomi baru dibuka semula, dan kerisauan berlakunya gelombang keempat.

Ujarnyam jika PRN diteruskan, prosedur operasi standard (SOP) berkempen yang akan digunapakai mungkin mewujudkan keadaan yang tidak adil atau berat sebelah bagi sesetengah pihak.

Bagaimanapun, tambahnya, PHn akan meneruskan persiapan menghadapi PRN Melaka.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan hari penamaan calon ditetapkan pada 8 November, hari mengundi awal pada 16 November dan hari mengundi adalah pada 20 November.

Tempoh berkempen ditetapkan 12 hari bermula selepas pengisyitiharan calon-calon yang bertanding pada 8 November sehingga pukul 11.59 malam 19 November Jumaat.

Dalam pada itu, SPR turut menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi. – MalaysiaGazette