Timbalan Pengarah Operasi JAWI, Mohd Fadzil Abu Kasim ketika temubual bersama Malaysia Gazette sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 1443/2021M di Pejabat JAWI, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 18 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Dalam melahirkan sebuah aspirasi ‘Keluarga Malaysia’, umat Islam diseru agar menjadikan ibrah (pengajaran) Nabi Muhammad SAW sebagai model terbaik dalam membina sebuah negara yang makmur.

Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Fadzil Abu Kasim berkata, pendekatan itu juga mampu melahirkan ummah yang berkualiti serta bersatu padu tanpa ada perbalahan.

“Manhaj Rabbani adalah kita mahu umat Islam mengambil jalan agama jalan kehidupan (hidup dalam beragama) melaksanakan suruhan dan perintah Allah SWT seperti yang terkandung dalam Al-Quran yang diwariskan Baginda Rasullulah SAW.

“Yang mana Nabi Muhammad SAW berkata aku tinggalkan pada umat aku dua perkara dan jika kamu berpegang teguh pada kedua-dua perkara itu kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu Al Quran dan Sunnah aku,” katanya kepada pemberita mengenai erti tema Sambutan Maulidur Rasul 1443 Hijrah.

Sambutan Maulidur Rasul 1443 Hijrah bersamaan 2021 Masihi pada tahun ini bertemakan ‘Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti’.

Tambah Mohd Fadzil, memandangkan hampir dua tahun negara berdepan penularan Covid-19, ramai rakyat yang terkesan dengan situasi semasa membabitkan kekeluargaan, pekerjaan dan sebagainya.

Sehubungan itu, katanya, amat disarankan kepada umat Islam agar sentiasa memahami maksud Al-Quran dan tema yang dibawakan itu untuk membentuk jiwa yang tenang dan terhindar dari perkara tidak diingini.

“Jika kita berpegang kepada tema ini iaitu kita kembali kepada agama, ia akan membentuk jiwa yang tenang dengan sentiasa ingat pada Allah maka terhindarlah dari tekanan atau depresi.

“Nasihat saya, kita perlu berpegang teguh pada ajaran dan panduan dibawa oleh Rasullulah SAW yang akan kita raikan hari kelahirannya.

“Paling utama adalah jangan kita jemu untuk menuntut ilmu bagi mendapatkan sesuatu yang benar, sahih dan jelas dalam ajaran Islam,” ujar beliau.

Mengulas mengenai persiapan sambutan Maulidur Rasul 1443 Hijrah, beliau berkata, ia dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Kesemalatan Negara (MKN).

Walaupun tiada perarakan seperti sebelum ini, Mohd Fadzil berkata Semarak Cinta Rasul Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan 1443 Hijrah akan disambut dengan meriah di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. – MalaysiaGazette