Pemandu kenderaan Naza Citra dan Mini Cooper berwarna merah dikenalpasti dan salah seorangnya sudah selesai dirakam keterangan hari ini.

PETALING JAYA – Polis telah memulakan siasatan terhadap rakaman video di media sosial yang memaparkan kereta yang berhenti secara mengejut dirempuh sebuah kereta dari arah belakang di persimpangan lampu isyarat Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, di sini, hari ini.

Ketua Polis Dearah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan awal mendapati kemalangan pada jam 11.44 pagi itu tidak menyebabkan kecederaan terhadap pemandu terbabit.

“Namun, pasukan saya sudah berjaya mengesan kedua-dua pemandu kereta berkenaan dalam kejadian tersebut.

“Pemandu Naza Citra yang berhenti secara mengejut itu akan hadir memberi keterangan dalam masa terdekat, manakala pemandu Mini Cooper S sudah tampil ke balai dan selesai memberi percakapan kepada polis,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu, seorang pengguna Twitter, @dmfhusaini memuat naik video berdurasi 45 saat yang memaparkan insiden membabitkan kedua-dua pemandu berkenaan.

Pengguna itu dalam ciapannya mendakwa kemalangan terbabit mempunyai unsur jenayah, selain menasihatkan pengguna jalan raya untuk lebih berhati-hati ketika melalui laluan di Bandar Sri Damansara serta di kawasan sekitarnya. – MalaysiaGazette