PRN Melaka State Election flag
Pilhan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas empat ADUN menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat hari ini bagi menentukan tarikh-tarikh penting berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Mesyuarat berlangsung di sebuah hotel di Melaka dan satu sidang media akan diadakan jam 12 tengah hari ini bagi memaklumkan keputusan mesyuarat tersebut

SetiausahaSPR, Datuk Ikmalrudin Ishak baru-baru ini memaklumkan mesyuarat khas tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh.

Perkara penting yang akan ditetapkan SPR termasuk tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

Pada 4 Oktober lepas, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Tindakan itu sekali gus membawa kepada pembubaran DUN dan memberi laluan kepada PRN untuk diadakan.

ADUN yang menarik sokongan terdiri daripada Datuk Idris Harun, Datuk Nor Azman Hassan, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Datuk Noor Effandi Ahmad. – MalaysiaGazette