Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein .Foto SYAFIQ AMBAK, 18 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Usaha mempertingkatkan aset-aset keselamatan siber sedang giat dijalankan, kata
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Dalam masa yang sama beliau berpuas hati dengan kepakaran keselamatan siber milik negara yang disifatkannya jauh lebih baik daripada negara serantau.

Tambahnya, kerjasama baik yang dijalinkan antara Malaysia dengan negara-negara besar juga membantu dalam usaha mempertingkatkan keselamatan siber khususnya melibatkan pendedahan teknologi canggih berkaitannya

“Jadi sekarang ini saya tidak boleh memberi butiran tetapi usaha untuk kita pertingkatkan aset-aset kita dalam konteks keselamatan siber ini giat berjalan dan saya tengok apa yang ada sekarang jauh daripada kemampuan negara serantau dan dengan hubungan kita dengan negara besar, boleh juga membantu kita kerana akhirnya musuh kita sama iaitu pengganas, penceroboh.

“Itu semua memerlukan teknologi-teknologi dan juga kepakaran yang cukup spesifik,” katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan penganalisis pertahanan dan keselamatan, Datuk Dr Ruhanie Ahmad bahawa kesiapsiagaan operasi risikan di Malaysia perlu dipertingkatkan lagi, terutamanya daripada  segi pengutipan maklumat siber.

Ujar Hishammuddin, keselamatan siber merupakan perkara yang sering diperjuangkannya daripada mula memimpin Kementerian Pertahanan sebelum ini.

“Itu satu perkara yang cukup penting dan saya dah tekankan sewaktu saya meimpin Kementerian Pertahanan suatu ketika dahulu dan saya bangga dapat laporan bahawa pendekatan dan keutamaan diberikan kepada keselamtan dan pertahanan dalam konteks siber,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut mengadakan sidang video bersama Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin N. Lorenzana bagi membincangkan beberapa perkara penting terutama dari sudut keselamatan serantau.

Selain membincangkan kerjasama pertahanan dua hala negara, Hishammuddin berkata, turut menjadi topik perbualan adalah kerjasama ketenteraan antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS)

“Saya tekankan bahawa ASEAN harus senada dan bersatu dalam menjawab isu-isu yang berupaya mempengaruhi keselamatan serantau termasuk AUKUS,” katanya. – MalaysiaGazette