(Picture for representational purposes only) An orang asli student from the Temuan Tribe, Muhammad Jumaidi Omer Faruk, 14, doing his school homework in conjunction with the home-based teaching and learning (PdPR) at Kampung Pangsun, Hulu Langat, Selangor. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 25 JANUARY 2021. free 1GB mobile data internet
Foto hiasan

PETALING JAYA – Polis akan menyiasat kejadian kemunculan video lucah dalam platform peperiksaan membabitkan pelajar tingkatan dua, sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), ACP Siti Kamsiah Hassan berkata, walaupun belum menerima sebarang aduan mengenai kejadian itu, tetapi pihak polis tetap akan memanggil orang berkenaan untuk membantu siasatan.

Katanya kepada Sinchew Daily, kes bagaimanapun belum dibuka kerana polis belum menerima apa-apa laporan.

Dalam pada itu, Siti Kamsiah memberitahu bahawa sebanyak lima laporan kes mengenai kemunculan gambar dan video lucah semasa Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) telah diterima di Klang Utara dan Gombak di Selangor.

“Polis telah membuka lima kes berlainan dan melakukan siasatan di bawah Seksyen 15 (e) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Menurutnya, polis akan menjejak suspek dengan menyiasat emel yang digunakan mereka.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan semasa pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di Kuala Lumpur sedang menduduki peperiksaan subjek Reka Bentuk dan Teknologi melalui Google Meet pada 14 Oktober lalu, video lucah tiba-tiba muncul dalam platform.

Cikgu pengawas seterusnya meminta semua pelajar keluar dari kelas virtual.

Ibu bapa yang membincangkan kejadian itu berpendapat hanya pengendali (admin) boleh memuat naik video, tetapi juga tidak menafikan kemungkinan akaun berkenaan digodam pihak luar.

Kejadian itu juga mungkin berlaku kerana calon peperiksaan berkongsi pautan tersebut dengan orang luar. – MalaysiaGazette