KOTA BHARU – Johan qari tilawah dan menghafaz al-Quran peringkat antarabangsa ke-58 pada 2016, Wan Ainuddin Hilmi Abdullah meninggal dunia pada 1.26 tengah hari tadi.

Adik Allahyarham, Datuk Muhammad Abdullah berkata, arwah yang berusia 39 tahun menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Machang dan berkemungkinan disebabkan serangan jantung.

“Ia kematian mengejut, sebelum ini arwah abang tidak sakit, mungkin disebabkan jantung. Arwah meninggalkan seorang isteri dan enam anak.

“Jenazah akan disolatkan selepas Isyak di Masjid Muhammadi, Kota Bharu dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol di sini selepas itu,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

“Takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Wan Ainuddin Hilmi Abdullah yang kembali kerahmatullah tengah hari tadi.

“Pemergian Allahyarham suatu kehilangan besar dalam menyampaikan ilmu al-quran. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan ditempatkan Allahyarham bersama para solihin. Al-Fatihah,” katanya.

Pada 2018, kerajaan negeri telah memberi sumbangan sebuah rumah kepada Allahyarham atas kejayaan, jasa dan sumbangannya dalam usaha memartabat al-Quran. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast