Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (PUTRA) Datuk Ibrahim Ali mempertikaikan tindakan pemberian lesen kepada syarikat pengeluar arak tempatan menggunakan jenama Timah.

Jelasnya, meskipun penjualan arak dalam negara tidak dihalang  untuk orang bukan Islam namun sepatutnya kementerian yang terbabit  meluluskan lesen sepatutnya peka terhadap penggunaan nama dan gambar yang digunakan syarikat tersebut pada botol produknya yang  menyentuh sensitiviti umat Islam.

“Ada pihak berhujah ini tidak kena mengena dengan kerajaan. Betul bukan milik kerajaan tapi yang keluar permit siapa? Siapa mengeluarkan kebenaran? Siapa?

“Kementerian mana? Kerajaan mana? Tanggung dosa di akhirat nanti.

“Memang arak kita tahu haram dan kita tidak halang untuk orang bukan Islam tapi yang diimport syarikat asing tapi yang baru ini, dikeluarkan di Malaysia, apa tidak cukup lagikah arak yang ada di Malaysia ini yang dibawa orang asing?

“Dan paling menyedihkan namanya Timah,” tegasnya yang dikenali panggilan Tok Him ketika sidang media di ibu pejabat Putra hari ini.

Justeru, PUTRA mendesak kerajaan menarik semula lesen syarikat pengeluar arak itu dengan segera.

Parti itu tambah Ibrahim akan membuat tindakan susulan untuk mendesak dengan konsisten sekiranya kerajaan tidak bertindak tegas.

Baru-baru ini, pelancaran serta pembuatan arak buatan Malaysia yang dikenali sebagai Timah mendapat kecaman terutamanya dalam kalangan umat Islam.

Rata-rata mempertikaikan penggunaan namanya seakan-akan nama orang Melayu termasuk gambar yang digunakan pada botol arak menunjukkan lelaki memakai kopiah.

Untuk rekod, arak tersebut dilancarkan pada 7 Oktober lalu dan disiarkan secara langsung menerusi Facebook.

Pihak pengurusan pengeluar arak itu kemudian semalam mengeluarkan kenyataan mengatakan nama itu adalah perkataan tempatan yang bermaksud ‘Timah’ dan jenama Timah Whiskey diambil sempena era perlombongan bijih timah semasa zaman British di negara ini.

Sementara itu, Tok Him juga menggesa kerajaan membatalkan kebenaran untuk meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan menjadi 22 kali sepanjang tahun ini.

Ujar beliau, keputusan itu melambangkan negara kini memperjuangkan aktiviti nombor ekor.

“Sehubungan dengan itu kita telah buat keputusan dengan setegasnya mendesak kerajaan membatalkan semua cabutan khas yang sekarang ini sudah sampai 22 kali, apa Malaysia sudah jadi negara nombor ekor?” soalnya.

Pada 20 September yang lalu, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat mengesahkan kerajaan memberi kebenaran untuk meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan menjadi 22 kali sepanjang tahun ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast