negara khairuddin abu hassan
Khairuddin Abu Hassan

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menggesa Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengambil tindakan mahkamah terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana kehilangan Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2003.

Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, langkah itu wajar diambil susulan kecuaian kerajaan BN yang ditunjangi UMNO menyebabkan Malaysia hilang kedaulatan di pulau tersebut.

“Kehilangan Pulau Batu Puteh disebabkan oleh kecuaian pemimpin UMNO di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri ketika itu.

“Kenapa semua pihak buat bising hari ini tidak langsung mempertikaikan pemimpin pada waktu itu yang menyebabkan kita kehilangan pulau tersebut?

“Kenapa Puad tidak mahu menyaman Tun Abdullah serta pasukan pakar undang-undang pada waktu itu diterajui oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail?

“Sesiapa yang menyebabkan kita kalah serta hilang Pulau Batu Puteh harus dijadikan asas utama untuk disaman,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Pada Ahad lalu Puad yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO menggesa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi penjelasan berhubung isu Pulau Batu Puteh.

Puad berkata, Dr Mahathir perlu menjelaskan sejauh mana wujud muslihat tertentu kerana mengalah mudah dengan Singapura yang terkenal dengan maklumat luar pesisir.

Pada 9 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri membuat keputusan terhadap tiga kes penting termasuk semakan semula undang-undang berkenaan Pulau Batu Puteh selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet.

Jemaah Menteri juga bersetuju pasukan petugas khas diwujudkan bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen sesuai dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

Dalam pada itu, Khairuddin tidak menolak kemungkinan serangan Puad terhadap Ahli Parlimen Langkawi itu sebagai satu lagi pembunuhan karakter.

“Puad takut mantan Perdana Menteri dua kali ini akan berjaya membawa Pejuang menubuhkan kerajaan di Putrajaya selepas PRU-15 nanti.

“Ini sikap pemimpin korup UMNO yang sentiasa takut pada bayang-bayang sendiri kerana seandainya Dr Mahathir menerajui negara, mereka bakal berhadapan dengan pelbagai permasalahan undang-undang.

“Golongan kleptokrats serta penyokong-penyokong mereka amat takut dengan ketegasan Dr Mahathir melawan rasuah di negara kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bodoh punya mamat ni…otak level artis Malaysia…masa tu Malaysia lawan kat ICJ…yg Medey bahalol belum lawan kat mahkamah lg, dah kecut telor tarik diri kenapa?

Comments are closed.