KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang menyamar anggota polis bagi melindungi dirinya ketika berlaku perselisihan faham mengenai isu sewa rumah di Taman TTDI Grove di Kajang pada Sabtu lalu ditangkap polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pada 2.29 pagi Sabtu lalu, pihaknya telah menerima maklumat pukul 2.29 pagi pada hari kejadian mengenai satu pertengkaran yang berlaku di kawasan perumahan terbabit berhubung isu sewa rumah.

“Kejadian dapat dileraikan orang awam yang berada di situ dan suspek yang berada di situ mengaku dirinya seorang anggota polis dipercayai untuk melindungi dirinya daripada diapa-apakan oleh penduduk.

“Oleh kerana curiga, saksi kejadian kemudian segera menghubungi polis untuk hadir ke lokasi dan melakukan siasatan ke atas suspek,” katanya hari ini.

Tambah Mohd Zaid, hasil pemeriksaan anggota unit peronda di mendapati lelaki itu bukan anggota polis dan didakwa menggunakan kad kuasa palsu.

Susulan itu, katanya, suspek telah ditahan di lokasi kejadian.

“Hasil siasatan lanjut terhadap suspek, polis berjaya menemui beberapa peralatan polis termasuk seragam operasi polis yang tertera nama suspek, kasut, tali pinggang dan satu unit gari selain kad kuasa polis yang dirampas.

“Suspek yang berusia sekitar 30-an kini direman tujuh hari sehingga 22 Oktober ini untuk membantu siasatan polis di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana menyamar polis dan memiliki barangan peralatan polis yang tidak sah di sisi undang-undang.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda.

“Kita juga sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui sama ada suspek terlibat di dalam kes-kes menyamar polis sebelum ini,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast