Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap pada sidang media mengenai situasi terkini Covid-19 negeri Selangor di Bangunan SUK, Shah Alam. Foto HAZROL ZAINAL, 19 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menafikan sekeras-kerasnya dakwaan beliau menerima bayaran bulanan dari sindiket judi haram.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, tuduhan yang dilemparkan ke atasnya adalah tidak berasas.

Dakwaan itu dibuat oleh pemilik akaun Twitter, Edisi SiasatMy atau @edisi_siasatmy.

“Berhubung tuduhan mengaitkan saya menerima bayaran bulanan dari sindiket judi haram, saya menafikan dakwaan ini yang tidak mempunyai asas sama sekali.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut,” tulisnya.

Sebelum ini, ada dakwaan oleh pemilik akaun terbabit terhadap Amiruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua bahawa dirinya menerima bayaran sebanyak RM150,000 sebulan daripada sindiket judi haram.

Dana itu juga didakwa digunakan untuk membiayai kegiatan politiknya.

Bagaimanapun pemilik akaun itu cepat memberikan maklum balas terhadap penafian dilakukan oleh Amiruddin.

@ edisi_siasatmy berkata, penafian Amirudin itu sudah dijangka sebaliknya meminta sendiri rakyat Selangor melihat sendiri kegiatan judi haram di kawasan mereka.

“ES (Edisi Siasat) memang tahu dia akan nafi tapi wahai rakyat Selangor, lihat kawasan anda dan tanya diri anda dengan jujur ada ke tak pusat judi di kawasan anda yang masih jalan?

“Kalau mak cik tua berniaga tepi jalan tanpa lesen cepat penguat kuasa sampai tapi kenapa kamu tak nampak pusat-pusat judi ini?” soalnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast