Gambar Hiasan. foto AFFAN FAUZI, 07 JUN 2019

KUALA NERUS – Penduduk Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit di sini gempar apabila seekor gajah liar menceroboh kawasan kediaman mereka pagi tadi.

Seorang penduduk Mazlan Mat Jusoh, 53, berkata, kehadiran gajah yang merosakkan kereta dan merobohkan pagar rumahnya itu disedari isterinya Wan Rasyidah Wan Yusoh kira-kira 6.20 pagi tadi.

“Ketika itu isteri pakcik sedang memasak di dapur dan dia terdengar bunyi bising dari belakang rumah. Selepas itu dia lihat ada ‘benda’ yang gelap dan tinggi sedang berkeliaran.

“Dia pun kejutkan pakcik yang sedang tidur dan pakcik lihat seekor gajah merempuh pagar rumah dan sedang berjalan menghala ke rumah emak pakcik (Wook Umat) yang tinggal di rumah sebelah. Selepas itu pakcik terlihat bahagian belakang kereta juga telah kemek mungkin disendel gajah tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini hari ini.

Mazlan yang juga seorang nelayan itu berkata, kehadiran haiwan itu adalah yang kali pertama berlaku sejak beliau tinggal di kampung tersebut lebih 30 tahun lalu.

Sementara itu Wook yang berumur 82 tahun berkata, ketika kejadian beliau sedang berehat selepas selesai menunaikan solat Subuh dan terdengar bunyi bising dari luar rumah.

“Makcik ingatkan anak makcik (Mazlan) sedang kemas kawasan rumah jadi makcik pun buka la pintu. Tetapi alangkah terkejutnya apabila makcik lihat seekor gajah berada di depan mata. Lebih 80 tahun makcik hidup, ini lah pertama kali makcik berhadapan dengan gajah liar. Makcik pun takut dan terus tutup pintu,” katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong ketika dihubungi pemberita berkata, gajah jantan yang dianggarkan berusia 10 tahun itu telah kelihatan berkeliaran di Kampung Sungai Taron di Setiu, Sabtu lepas.

Katanya, gajah yang dianggarkan seberat dua tan itu berjaya ditangkap pihaknya selepas ditembak dengan ubat pelali di kampung berkenaan sekitar 10 pagi tadi dan kini usaha untuk memindahkan haiwan itu sedang dijalankan.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman berkata, kira-kira lima rumah di Kampung Pengkalan Atap mengalami kerosakan kecil angkara gajah liar itu. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast