APMM Pulau Pinang tahan 14 warga Thailand yang sedang menangkap ikan secara haram di perairan negeri ini semalam.

GEORGE TOWN – Tindakan 14 kru warga Thailand termasuk tekong bot menangkap ikan secara haram di perairan negeri ini membawa padah selepas mereka ditahan di kedudukan 10.4 batu nautika barat daya Mukah Head di sini semalam.

Kesemua mereka yang berusia lingkungan 37 hingga 74 tahun itu diberkas pasukan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang ketika melaksanakan rondaan rutin Op Benteng pada jam 1.19 petang.

Pengarah APMM Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan berpangkalan di Pantai Remis, Perak yang dikendalikan seramai 14 kru warga Thailand itu melakukan pelbagai kesalahan.

Abd Razak (depan).

Antaranya lesen bot dan permit menggaji warga asing tamat tempoh serta empat daripada kru terbabit memiliki dokumen perjalanan diri tamat tempoh.

“Selain itu, mereka juga didapati melanggar zon yang dibenarkan bagi penangkapan ikan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, susulan tangkapan tersebut, APMM turut merampas kira-kira satu tan ikan yang dipercayai hasil tangkapan di perairan negeri.

“Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) lakukan saringan Covid-19 sebelum kesemua mereka diserah kepada Pegawai Penyiasat bagi siasatan lanjut.

“Kes akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu dokumen perjalanan diri yang tamat tempoh,” kata Abd Razak. – MalaysiaGazette