LENGANG ... Pantai Mek Mas kelihatan lengang daripada kunjungan orang ramai berikutan penutupan yang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) demi menjaga keselamatan pengunjung ketika tinjauan hari ini. Pantai Mek Mas baru-baru ini menjadi tumpuan pengunjung yang datang untuk melihat Fenomena 'laut terbelah' sepanjang lebih satu kilometer. Fenomena sejak lebih sebulan lalu itu terjadi disebabkan air surut yang kemudian membentuk beting pasir hingga membolehkan pengunjung berjalan untuk ke tengah lautan. -- fotoBERNAMA

KOTA BHARU – Kawasan fenomena air surut sehingga menampakkan beting pasir dan membuatkan laut kelihatan seolah-olah terbelah di Pantai Mek Mas, Kuala Besar, di sini ditutup kepada orang ramai sejak Isnin lepas.

Tinjauan Bernama mendapati tanda amaran bahaya diletakkan di kawasan berkenaan berserta pita amaran kuning dan bendera merah bagi memberi peringatan kepada orang ramai agar menjauhi kawasan itu.

Penghulu Mukim Che Latif, Zinuddin Daud, 58, berkata kawasan fenomena yang menjadi tarikan baharu kepada masyarakat sejak sebulan lalu sehingga tular di media sosial, ditutup atas faktor keselamatan.

Katanya, tindakan itu diambil oleh pihak berkuasa tempatan selepas perbincangan dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri kerana khuatir kejadian yang tidak dingini berlaku kepada pengunjung, terutamanya ketika negeri ini akan memasuki musim tengkujuh.

“Kita khuatir ia akan menyebabkan ombak yang besar secara tiba-tiba atau air pasang terutamanya pada musim tengkujuh iaitu pada November atau Disember.

Kita ambil langkah awal (berjaga-jaga) menutup kawasan ini memandangkan ketika tular tempoh hari jumlah pengunjung ke kawasan berkenaan mencecah hampir 500 orang pada hari minggu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pantai Mek Mas, di sini hari ini.

Katanya, setakat ini pihaknya tidak pasti sama ada pantai itu akan dibuka semula kepada pengunjung atau tidak.

Sementara itu, seorang pengunjung Nur Athirah Zulkaain , 28, dari Kampung Tok Sangkut, Pasir Mas, berkata beliau berkunjung ke situ untuk melihat sendiri fenomena yang tular itu.

“Saya mengambil peluang untuk melihat fenomena yang tular di media sosial Facebook dan juga Tik Tok ini, namun tidak menyangka kawasan ini telah ditutup kepada orang ramai.

Namun, tidak mengapa memandangkan penutupan ini demi menjaga keselamatan pengunjung,” katanya yang bekerja di Kuala Lumpur.

Fenomena “laut terbelah” itu menarik perhatian orang ramai dan pengunjung tidak melepaskan peluang untuk memuat naik rakaman pengalaman mereka berjalan melalui kawasan itu di media sosial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast