Kapal terbang terhempas ketika berlepas di Lapangan Terbang Eksekutif Houston - foto CNN

HOUSTON –  Sebuah pesawat yang menuju ke Boston yang membawa lebih dari 20 orang terhempas ketika baru hendak berlepas di Lapangan Terbang Eksekutif Houston, Amerika Syarikat semalam.

Bagaimanapun tiada kecederaan serius dilaporkan.

Semua penumpang dan anak kapal berjaya menyelamatkan diri sebelum anggota bomba memadamkan kebakaran pesawat McDonnell Douglas MD-87 di kawasan lapang berhampiran lapangan terbang tersebut.

Menurut agensi, dua mangsa yang mengalami masalah pernafasan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Sebelum itu, pesawat berkenaan dikatakan meluncur melalui pagar dan terbakar di kawasan lapang kira-kira pukul 10 pagi ketika cuba berangkat, kata Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dalam satu kenyataan.

Penumpang termuda pesawat tersebut berusia 10 tahun dan api berjaya dikawal dan dipadamkan.

FAA dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) sebagai agensi utama akan menjalankan siasatan lanjut. – Agensi