Pengasas kosmetik, Datuk Seri Siti Nurhaliza bergambar bersama duta SimplySiti, Zahra Zura Aziza Zahanor pada Pelancaran Produk Baharu SimplySiti di Menara Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Tuah menjadi pelajar tahun akhir Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu, Melaka, Zahra Zura Aziza Zahanor apabila dipilih menjadi wajah baharu jenama kecantikan popular Malaysia, SimplySiti milik penghibur popular, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Zahra, 20, yang merupakan pelajar Diploma Pengurusan dan Pentadbiran Insurans itu berjaya menjadi empat top finalis selepas melalui Pencarian Wajah SimplySiti yang diadakan pada bulan Jun lalu di kalangan lebih 700 penyertaan.

Siti Nurhaliza, 42, berkata, Zahra dipilih kerana anak kelahiran Kuala Lumpur memiliki pelbagai kriteria yang dikehendaki pihaknya seperti keperibadian tinggi, ada rupa dan bijak dalam akademik.

“Sebenarnya membawa jenama SimplySiti, kalau ikutkan saya pun tidak berhijab dan seterusnya saya berhijrah serta berhijab. Jadi untuk jenama SimplySiti ini saya lebih terbuka.

“Sebab saya ada pengikut saya sendiri yang mengikuti sejak usia saya muda sampai berumur ini. Pengikut saya sudah tahu imej saya. Tapi untuk saya mencuri hati golongan remaja dan anak-anak muda jadi Zahra sesuai mewakili mereka.

“Jadi bukan faktor berhijab atau tidak menjadi untuk saya. Itu adalah personal seseorang di mana dia akan buat keputusan untuk dirinya satu masa nanti. Tetapi tujuan perniagaan saya untuk membawa nama SimplySiti itu, saya pilih orang yang ada keperibadian, wajah dan kebijaksanaan untuk menarik generasi baharu seperti Zahra untuk mengenali produk saya,” katanya.

Sesi bergambar bersama duta SimplySiti, Zahra Zura Aziza Zahanor pada Pelancaran Produk Baharu SimplySiti di Menara Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 OKTOBER 2021.

Siti berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran rangkaian produk baharu SimplySity di Menara Kuala Lumpur di sini hari ini.

Zahra yang merupakan anak sulung daripada dua beradik itu kini merupakan pelajar terbaik di UiTM kerana dia mencatatkan keputusan Anugerah Dekan (DL) bagi empat semester berturut-turut.

Sementara itu, Siti dalam ucapannya berkata, sebagai usahawan kosmetik tempatan dia tidak menafikan bahawa SimplySiti juga terkesan dengan masalah ekonomi akibat Covid 19.

Namun wanita kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu bersyukur kerana produk kosmetik terbaharu itu lahir ketika negara an seluruh dunia dilanda bencana yang tidak terduga.

“Saya amat berbesar hati kerana dapat memperkenalkan produk terbaharu SimplySiti yang berkonsepkan SimplySiti for All – Reflection of Perfection yang sesuai untuk semua kulit wanita Asia.

“Saya juga berbangga dengan pasukan SimplySiti yang komited dan bekerja keras bagi memastikan produk ini berada di pasaran sebagaimana yang telah dirancang sejak awal lagi.

“Rangkaian kosmetik ini pasti dapat memenuhi citarasa ramai kerana rona-rona warna yang disediakan sesuai untuk semua warn kulit dan peringkat umur bagi penggemar-penggemar kosmetik yang inginkan penampilan ‘matte’ semulajadi,” katanya.

Sesi bergambar bersama Pengasas kosmetik, Datuk Seri Siti Nurhaliza pada Pelancaran Produk Baharu SimplySiti di Menara Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 OKTOBER 2021.

Kata ibu kepada sepasang anak itu, pihak SimplySiti telah membuat perancangan awal iaitu sejak penghujung tahun lalu lagi bagi melancarkan produk terbaharu ini namun pelbagai halangan yang perlu ditempuhi.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penutupan sementara kilang-kilang dan pekerja-pekerja terpaksa berkerja dari rumah, secara tidak langsung telah memperlahankan proses menghasilkan produk kosmetik terbaharu ini,” katanya. –  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast