Mohd Diya Che Jusoh diangkat oleh anggota bomba dan orang ramai selepas ditimpa kemalangan menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Sungai Putat, Ayer Keroh. foto Instagram ismailsabri60

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menyeru seluruh Keluarga Malaysia bersama-sama mendoakan keselamatan seorang anggota bomba yang ditimpa kemalangan sewaktu menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Sungai Putat, Ayer Keroh, Melaka petang tadi.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mohd Diya Che Jusoh masih belum sedarkan diri lagi.

”Ayuh kita semua warga Keluarga Malaysia bersama-sama menadah doa ke hadrat Allah agar keadaan mangsa bertambah baik dan sihat seperti sedia kala,” kata beliau menerusi Twitter.

Perdana Menteri berkata, beliau difahamkan hujan lebat melanda seluruh Malaysia dan ada beberapa tempat dinaiki air.

”Saya menyeru kepada semua agar sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga. Semoga Allah melindungi seluruh Keluarga Malaysia,” ujar beliau.

Mohd Diya nyaris lemas selepas tersangkut dalam aliran air deras banjir ketika terlibat dalam operasi banjir.

Dia telah dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan. – MalaysiaGazette