Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

PETALING JAYA – Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki memukul ibu kandungnya dengan menggunakan sebatang kayu hingga menyebabkan wanita warga emas itu mengalami kecederaan pada tangan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang wanita warganegara tempatan berumur 73 tahun pada jam 3.24 petang Selasa lalu.

“Kejadian dipercayai berlaku pada 16 Oktober lalu jam lebih kurang 7 petang di rumah pengadu di kawasan Pelangi Damansara, di sini.

“Akibat serangan dari anaknya (suspek) itu, mangsa telah mengalami kecederaan patah pergelangan tangan dan telah mendapatkan rawatan lanjut di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Fakhrudin, bertindak atas maklumat dan aduan mangsa warga emas terbabit, pada hari kejadian yang sama jam lebih kurang 11.30 malam, sepasukan polis dari Balai Polis Damansara telah membuat serbuan di sebuah rumah di kawasan Pelangi Damansara.

Menurut beliau, dalam serbuan tersebut, polis telah menahan suspek yang merupakan seorang lelaki berumur 45 tahun yang disyaki terlibat dalam kes memukul ibu kandungnya seperti dilaporkan kepada polis.

“Siasatan awal polis mendapati, suspek yang tidak bekerja itu sering bertindak agresif dengan memukul dan meminta wang kepada ibu kandungnya (pengadu) untuk membeli dadah.

“Semakan rekod lampau mendapati suspek (anak mangsa) mempunyai sebanyak 15 rekod kesalahan dadah dan tiga rekod jenayah lampau.

“Suspek kini berjaya ditahan reman selama empat hari bermula 20 Oktober hingga 23 Oktober ini untuk membantu siasatan sementara kertas siasatan akan dilengkapkan dan diangkat segera kepada Timbalan Pendakwaraya untuk arahan lanjut berlunaskan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda jika disabitkan kesalahannya,” ujarnyanya.-MalaysiaGazette