KUALA LUMPUR – Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) akan menganjurkan AI and Data Week 2021 (AIDW 2021) yang berlangsung pada 25 hingga 29 Oktober ini yang memberi tumpuan kepada Internet untuk Segalanya (IoT), Data dan Kecerdasan Buatan (AI).

AIDW 2021 menyasarkan untuk memangkinkan adaptasi data dalam kalangan perniagaan rakyat Malaysia dan memacu pertumbuhan pembangunan ekosistem data Malaysia.

Antara aktiviti AIDW 2021 ialah penganjuran bual bicara dan perbincangan oleh pakar data dan industri dengan tujuan memupuk ekosistem data dan AI yang berkembang maju terutamanya daripada segi pemikiran, integrasi dan adaptasi IoT, Data dan AI dalam kalangan perusahaan, pekerja profesional, pegawai kerajaan dan orang awam.

Selain menganjurkan bual bicara dan perbincangan topik berkenaan IoT, Data dan AI, AIDW 2021 akan menampilkan acara utama yang dianjurkan secara bersama dengan firma perunding pengurusan global, Kearney yang akan menawarkan perbincangan lebih mendalam berkenaan topik khususnya AI.

Acara tumpuan AIDW 2021 termasuklah:
• Acara Utama: AI di Malaysia – Bersaing Menuju Masa Depan
Dianjurkan secara bersama antara Kearney dan MDEC, acara utama ini menawarkan dua rundingan meja bulat eksekutif yang bertujuan untuk membincangkan apa yang perlu dilakukan Malaysia untuk merealisasikan potensi penuh AI.

• Pengganggu Masa Depan: Terima, Adaptasi atau Gagal
IoT, Data dan AI telah mendorong industri ke arah masa depan dan mengganggu proses tradisional. Untuk terus bertahan, amat penting kepada industri dalam semua sektor untuk belajar dan memahami pelaksanaan teknologi data kepada perniagaan dan pengguna.

• Memperkasa Sektor Pertanian dengan Teknologi Digital
Dipupuk dengan kehadiran teknologi pertanian (AgTech), sesi panel yang bermakna ini akan menyaksikan petani digital berkongsi pengalaman mereka dalam mengekalkan dan meningkatkan penggunaan AgTech untuk menambah baik kesejahteraan orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, laporan Kearney berkenaan masa depan AI di Asia Tenggara mendapati walaupun adaptasi AI di rantau ini masih di peringkat awal, dengan penggunaan dan pelaksanaan AI yang betul akan menambah kira-kira AS$115 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2030.

Perbelanjaan dipacu data di Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan rancak.

Kajian MDEC yang ditugaskan kepada IDC mendapati pasaran data raya dan analisis Malaysia dijangka berkembang dari AS$1.1 bilion (RM4.5 bilion) pada 2021 kepada AS$1.9 bilion (RM7.89 bilion) pada 2025.

”AIDW 2021 berperanan sebagai salah satu platform utama kepada kami untuk mempercepatkan ketersediaan, kebolehcapaian dan kegunaan data dalam masyarakat dan ekonomi Malaysia.

”Menerusi kejayaan mengadaptasi data dan AI, kami boleh memacu ekonomi digital yang produktif, progresif dan inklusif selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” kata Mahadhir. – MalaysiaGazette