Ayob menunjukkan modes operandi yang dilakukan sindiket macau scam yang ditumpaskan polis Johor baru-baru ini.

JOHOR BAHRU – Polis Johor menumpaskan sindiket penipuan Macau Scam yang baharu beroperasi selama seminggu dalam dua serbuan pada 15 dan 19 Oktober lalu di Larkin dan Kulai.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, seramai lapan anggota sindiket itu diberkas dalam serbuan di sebuah restoran di Kampung Tahana 2, Larkin dan  di Taman Saga, Kulai, dekat sini.

Tambah beliau, kesemua yang ditahan merupakan lelaki warga tempatan yang berusia antara 21 hingga 43 tahun, ujarnya.

Menurut Ayob Khan, sindiket tersebut menawarkan gaji sebanyak RM3,000 sebulan dan peluang kerjaya di luar negara kepada anggotanya.

Tambah beliau, hasil siasatan mendapati suspek berperanan sebagai pengajar, penulis skrip, ejen dan operator pusat panggilan yang berpusat di Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

“Mereka ini akan melatih pekerja baharu tentang teknik penipuan dengan menyamar sebagai pegawai polis, kastam dan Bank Negara Malaysia.

“Selain itu, mangsa-mangsa baharu turut diberi tawaran gaji sebanyak RM3,000 sebulan dan komisen tiga peratus bagi setiap hasil penipuan yang berjaya dilakukan,” katanya pada sidang media  di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Menurut Ayob Khan, sindiekt itu juga dikesan aktif melatih pekerja untuk bertugas di pusat panggilan Macau Scam di luar negara antaranya Kemboja dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Polis turut memburu dua lelaki iaitu Su Hao Shou, 33, yang beralamat di Taman Stulang, di sini dan Mohamad Khairuddin Syah, 25, yang beralamat di Taman Damai Jaya, Skudai. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast