Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) bergambar selepas sesi tandatangan Sijil Perakuan Siap Kerja (CCP) antara Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Penswastaan KKR, Datuk Zahrul Hakim Abdullah (empat kiri) dan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Sektor Infra Jabatan Kerja Raya, Datuk Ir. Ahmad Redza Ghulam Rasool (empat kanan) pada Penyerahan Surat Setuju Terima Tender (SST) dan Projek Siap KKR dan JKR di Kompleks Kerja Raya, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 21 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini menyerahkan Surat Setuju Terima Tender (SST) bagi projek pembinaan Pusat Kawalan Penyakit Negara (NCDC) yang bernilai RM284 juta.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek tersebut akan dilaksanakan Syarikat Nepturis Sdn Bhd dan Permata Rebana Sdn. Bhd.

Tempoh kontrak bagi projek itu adalah selama 196 minggu di atas Lot 34671, Lengkuk Teknologi, Kawasan Perindustrian Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.

“Tujuan projek ini dilaksanakan untuk mengintegrasi dan memperkukuh aktiviti kawalan dan pencegahan penyakit serta menyediakan perkhidmatan makmal diagnostik dan pengesahan analitik bertaraf tinggi yang lebih selamat dan teratur.

“Penubuhan NCDC ini juga berupaya menjadi pusat rujukan bagi negara jiran serantau serta Asia Pasifik amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Tender dan Penyerahan Projek Siap di bawah Pelaksanaan Kementerian Kerja Raya di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurut Fadillah, selain projek berkenaan, empat projek lain turut diserahkan SST iaitu projek menaik taraf Jalan Muar-Tangkak-Segamat yang akan dilaksanakan oleh syarikat SLP Construction Sdn Bhd dengan nilai kontrak RM 183 juta.

Ujarnya, projek lain ialah projek membina jalan penghubung di antara Kampung Langkap dan Kampung Guntur di Kuala Pilah, Negeri Sembilan; pembinaan tapak simulasi bencana di Pulau Meranti Selangor dan Pembinaan Sekolah baharu di Marang, Kuala Terengganu.

“KKR menyasarkan 120 SST dikeluarkan kepada kontraktor yang berjaya dan setakat ini sebanyak 81 SST sudah dikeluarkan manakala bakinya dalam proses dikeluarkan,” tambahnya. – MalaysiaGazette